Emosi Wani terganggu semasa jalani kuarantin

Penyanyi dan pelakon, Wani Kayrie, 21, bersyukur kesihatannya bertambah baik selepas tamat tempoh kuarantin selama 10 hari.

Wani atau nama sebenarnya, Syazwani Abdullah berkata, dia lega apabila proses kuarantin berakhir dan boleh menyambung semula kerja yang tertangguh.

“Alhamdulillah, saya semakin baik, cuma suara sahaja masih sengau. Rasanya, semua yang dijangkiti COVID-19 mengalami suara sengau sebab hidung masih tersumbat sebelah dalam.

“Namun, saya baik-baik sahaja atas jagaan keluarga. Bagaimanapun, emosi saya agak terganggu pada awal menjalani proses kuarantin,” katanya kepada media.

Kongsi Wani, dia cuba berfikiran positif agar dirinya segera sembuh. Malah, tempoh 10 hari memberikannya ruang untuk muhasabah diri.

Wani Kayrie bersyukur kesihatannya bertambah baik selepas tamat tempoh kuarantin selama 10 hari. – Agensi

“Saya akui, timbul perasaan sedih selama 10 hari berkurung dalam bilik untuk menjalani tempoh kuarantin. Ini disebabkan saya tidak dapat keluar bekerja.

“Saya seorang yang jenis suka bekerja sehingga pelbagai perkara bermain di fikiran terutama membabitkan soal kerja yang tertangguh.

“Namun, tiada guna saya larut dengan emosi, jadi saya cuba manfaatkan tempoh 10 hari ini dengan mengulang kaji pelajaran kerana bakal menduduki peperiksaan akhir pada Januari depan.

“Saya juga ambil peluang untuk memperbaiki diri dengan banyak melakukan ibadah. Ini kerana saya mungkin terlalu sibuk bekerja sehingga kurang masa mendekatkan diri dengan Allah,” katanya.

Tambah Wani, dia menyifatkan apa yang berlaku adalah satu hikmah dan peringatan Allah supaya mengambil masa rehat dan menumpukan amal ibadah.

Namun, katanya, dia bersyukur ahli keluarga tiada terkena jangkitan COVID-19, meskipun dirinya dijaga keluarga.

“Ketika disahkan positif COVID-19, perkara pertama bermain difikiran adalah keluarga. Ini kerana saya tinggal bersama mereka.

“Saya risau sebab adik belum vaksin, tetapi, Alhamdulillah keputusan mereka negatif. Malah, ibu banyak membantu sepanjang menjalani kuarantin.

“Setiap hari, ibu menyediakan makanan dan menghantarnya melalui tingkap bilik. Alhamdulillah, keluarga banyak menyokong untuk saya segera sembuh,” katanya.

Wani berkata, dia akan kembali menyambung penggambaran drama, Adakah Engkau Menungguku yang tergendala.

“Saya serba salah dengan pihak produksi apabila penggambaran drama terpaksa dihentikan apabila saya disahkan positif COVID-19. Seluruh pasukan juga kena kuarantin.

“Disebabkan itu, kami kena kejar masa bagi menyelesaikan penggambaran selepas tamat kuarantin.

“Jadi, saya akan sambung penggambaran pada 19 Disember ini bagi mengejar tarikh tayangan drama,” katanya.

Terdahulu, Wani disahkan positif COVID-19 selepas mengalami demam panas, sakit kepala, batuk, selsema dan sakit tekak pada awal bulan ini. – Agensi