Friday, August 12, 2022
32 C
Brunei

Empangan bengoh ‘lubuk’ rezeki penduduk Padawan

-

PADAWAN – Pembinaan Empangan Bengoh di Padawan yang terletak kira-kira 40 kilometer dari bandar raya Kuching, Sarawak mempunyai cerita tersendiri bagi beberapa perkampungan Bidayuh di sini.

Meskipun ramai memilih untuk berpindah setelah kawasan berkenaan ditenggelami air susulan pembinaan empangan itu pada 2007, penduduk kampung mengambil keputusan untuk terus tinggal di kampung kerana rumah mereka tidak terjejas selain kehidupan mereka lebih mudah berbanding sebelum ini.

Satu perkampungan yang masih kekal di sekitar empangan itu adalah Kampung Sting, yang mengambil masa kira-kira 20 minit menaiki bot dari jeti Empangan Bengoh dan memerlukan pendakian hampir 30 minit untuk sampai ke perkampungan kecil yang mempunyai 22 kediaman.

Seorang penduduk, Wek Pauh, 48, berkata beliau memilih untuk tidak berpindah kerana tidak mahu meninggalkan tanah milik keluarganya yang menjadi punca utama pendapatan keluarga, selain sayang kepada harta warisan itu.

“Kami tidak pindah sebab kami sayangkan tanah kami, sebab di sini kami masih boleh tanam padi, lada, serai, lengkuas dan hasil tanaman itu akan dibeli orang di empangan ini,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Weh Pauh memetik hasil tanaman kelapanya semasa tinjauan Bernama ke Kampung Sting di Empangan Bengoh. – Bernama
Timis Bangai mengatakan ada kalanya ketika hujan, anaknya terpaksa ponteng sekolah kerana paras air tinggi dan sukar dilalu. – Bernama
Penduduk Kampung Sting, Weh Pauh mengemudi bot dari jeti Empangan Bengoh menuju ke kediamannya. – Bernama

Selain itu, mereka juga dapat menjana pendapatan hasil kehadiran pelancong yang datang untuk beriadah serta melakukan aktiviti mendaki atau penduduk kota yang ingin menikmati suasana kampung di sini.

Beliau yang mengusahakan inap desa dan perkhidmatan bot berkata ramai pengunjung datang untuk melakukan aktiviti mendaki atau mandi-manda di beberapa air terjun di kawasan sekitar selain sekadar untuk menikmati landskap semula jadi.

Sementara itu, berkongsi pengalaman sebelum pembinaan empangan itu, suri rumah Timis Bangai, 38, pula berkata banyak cabaran yang terpaksa dilalui termasuk kesukaran untuk mendapatkan rawatan, atau halangan pergi ke sekolah sama ada sekolah rendah atau sekolah menengah berikutan faktor cuaca dan ancaman di hutan.

Akuinya, pernah beberapa kali ibu kepada seorang anak itu terpaksa ponteng sekolah kerana hari hujan atau banjir dan laluan yang perlu dilalui menggunakan titi tidak dapat digunakan selain terserempak dengan binatang buas.

“Dahulu untuk ke sekolah rendah, kami bergerak pukul 6:30 pagi dan berjalan kaki selama setengah jam dan kalau hujan sangat lebat, titi tidak boleh lalu, kami balik rumah sahaja dan terpaksa ponteng,” katanya.

Suri rumah yang membantu suaminya mengusahakan kebun dan inap desa itu berkata satu ketika dahulu penduduk kampung termasuk kedua orang tuanya perlu berjalan sehingga tujuh jam untuk membawa hasil hutan atau tanaman ke Kampung Bengoh sebelum dijual di bandar raya Kuching.

“Sekarang sekejap sahaja perjalanan untuk sampai ke destinasi apabila kami dapat menggunakan bot yang hanya mengambil masa kira-kira 20 minit, berbanding dulu kami terpaksa jalan kaki berjam-jam,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Nol Bungai, 35, berkata hikmah daripada pembinaan empangan yang menjadikan kawasan tersebut tarikan pelancong turut membuka peluang untuk menjana pendapatan dengan menyediakan pengangkutan bot dan menjadi pemandu pelancong di situ.

Katanya hasil pendapatan ini membantu menambah pendapatannya yang tidak menentu sebagai tukang kayu atau pembuat rumah, sekali gus meningkatkan taraf hidup keluarganya.

Sebilangan penduduk dari kampung-kampung terjejas yang dipindahkan ke Skim Penempatan Semula Bengoh (BRS) iaitu Rejoi, Semban, Taba Sait dan Pain Bojong turut memanfaatkan empangan itu untuk menjalankan aktiviti pelancongan seperti menyediakan pakej perkhidmatan bot.

Empangan Bengoh adalah empangan air yang mampu menyimpan 114 juta meter padu air dengan kawasan tadahan seluas 127 kilometer persegi bertujuan sebagai sebahagian daripada projek bekalan air untuk keperluan penduduk di bandar raya Kuching dan daerah sekitarnya.

Projek bernilai lebih RM300 juta itu dimulakan pada 2007 dan siap sepenuhnya Januari 2017 manakala penakungan air selesai pada April tahun sama. – Bernama

- Advertisment -

DISYORKAN UNTUK ANDA

DXY disekat kritik rawatan herba COVID

BEIJING, 11 OGOS – Sebuah laman web perubatan China yang popular telah ditapis oleh pihak berkuasa kerana 'melanggar undang-undang dan peraturan yang berkaitan', beberapa...
- Advertisment -