BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Jun – Seramai empat orang peserta belia telah berlepas ke Singapura untuk mewakili Negara Brunei Darussalam dalam Forum Alam Sekitar Belia ASEAN+3 (AYEF) 2018 yang berlangsung di Singapura di antara 30 Jun hingga 2 Julai ini.
Rombongan pelajar tersebut terdiri daripada Dayang Shaima binti Haji Misli dari Universiti Brunei Darussalam (UBD) sebagai pemimpin pelajar yang dilantik, Dayang Ummu Hanani binti Abdul Latiff, Awang Mohd Airudin Fakhrullah bin Mohd Iasa dari Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kampus Agro-Teknologi dan Awang Muhammad Ayub bin Haji Zaili, juga dari IBTE Kampus Agro-Teknologi.
Hadir bagi mengucapkan selamat belayar di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei adalah Pemangku Pengarah Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe), Dayang Martinah binti Haji Tamit dan Ketua Pusat Perkongsian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (STEP), Dayang Sarimah binti Abu Bakar.
Acara tiga hari tersebut akan mengumpul kira-kira 65 belia dari seluruh rantau yang bertujuan menggalak belia ASEAN untuk menggambarkan persekitaran masa depan mereka yang ideal, mengemukakan satu pelan dan tindakan untuk membuat perubahan yang diperlukan. Acara itu juga memberikan peluang untuk mengembang pengetahuan dan kemahiran mereka serta menambah usaha-usaha rangkaian di seluruh rantau.

Peserta ini juga diharapkan dapat memperoleh pemahaman yang lebih baik mengenai kesan perubahan iklim, faktor yang menyumbang kepada perubahan iklim serta cara-cara untuk mengurangkan kesan perubahan iklim.
Selain itu, ahli Majlis Mesyuarat Negara dan pengasas Green Brunei, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Haji Ash’ari juga akan menghadiri AYEF 2018 sebagai speaker jemputan utama dan Pemangku Pengarah JASTRe akan menyampaikan ucapan penutup dalam peranannya sebagai pengerusi Kumpulan Kerja ASEAN mengenai Pendidikan Alam Sekitar (AWGEE).
Di antara aktiviti-aktiviti program AYEF 2018 adalah ucapan pembukaan oleh Presiden Singapura, Puan Yang Terutama Halimah Yacob, perbincangan panel dengan Menteri Alam Sekitar dan Sumber Air Singapura, Tuan Yang Terutama Masagos Zulkifli serta kunjungan ke Galeri Singapura dan Our Tampines Hub.