Oleh Daniel Lim –
BELAIT, 19 NOV – Empat orang adik beradik berbangsa Dusun telah melafazkan Dua Kalimah Syahadah pada majlis pengislaman yang berlangsung di Bangunan Persatuan Sinar Islam (PSI) yang terletak di Kuala Belait, kelmarin.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Ketua Pegawai Agama Daerah Belait, Awang Mohammad Aliyani bin Ismail.
Majlis pengislaman dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah.
Majlis seterusnya diteruskan dengan empat beradik memeluk agama Islam bermula dengan anak sulung iaitu Dannie Shazrul bin Simpul berusia 26 tahun yang memilih nama baharunya sebagai Muhammad Shahrul Zulkarnain bin Simpul.
Kemudian diikuti dengan Dannie Shazron bin Simpul, 23; Dannie Shazren bin Sumpul, 21; dan Suzzie Dazrine binti Simpul, 17; yang masing-masing memeluk agama Islam dengan nama Shahron Zulqarnain bin Simpul, Muhammad Khalid Imran bin Simpul, dan Nur Hana Fauziyah binti Simpul.
Tetamu kehormat kemudiannya menyampaikan cenderahati kecil kepada saudara-saudara baharu itu, yang bersama-sama ahli keluarga dan sahabat handai, merenjis minyak wangi bagi memperingati majlis yang semuanya diiringi dengan Dikir Marhaban.
Unit Dakwah di Daerah Belait kini telah mencatatkan jumlah seramai 72 orang yang memeluk agama Islam sejak awal tahun ini.