Empat didakwa terlibat gelapkan wang

WASHINGTON, 5 Dis – Kerajaan Amerika Syarikat (AS) semalam mengumumkan tuduhan ke atas empat orang lelaki yang disyaki menggelapkan wang dan mengatur skim pengelakan cukai menerusi firma Panama di tengah-tengah berlakunya skandal ‘Panama Papers’.

Empat individu itu terkait dengan Mossack Fonsecaa, sebuah firma undang-undang yang membantu beribu-ribu klien seluruh dunia memindahkan wang ke luar untuk mengelak daripada cukai.

Individu yang tersenarai dalam 11 tuduhan itu adalah Ramses Owens, 50, Dirk Brauer, 54; Richard Gaffey, dan Harald Joachim Von Der Goltz, 81.

Owens merupakan peguam dari Panama yang bekerja untuk Mossack Fonseca, sementara Brauer, seorang rakyat Jerman yang merupakan pengarah pelaburan untuk Pengurusan Aset Mossfon yang sangat dekat dengan Mossack Fonseca, menurut Jabatan Keadilan. Kedua-dua pihak dituduh memasarkan, menubuhkan dan menguruskan syarikat yang tidak wujud untuk mewakili pihak klien untuk menyembunyikan aset dari pihak berkuasa pencukaian AS.

Gaffey merupakan seorang akauntan AS yang disyaki membantu klien dari Amerika untuk membuat akaun bersama Mossack Fonseca dan Von Der Goltz, seorang warga Jerman yang tinggal di AS telah dibantu oleh Gaffey dan Owens dalam menubuhkan syarikat yang tidak wujud bagi menyembunyikan aset, menurut tuduhan itu.

Pihak pendakwa berkata Brauer ditahan di Paris pada 15 November sementara Van Der Goltz ditahan di London tempoh hari dan Gaffey ditahan di Boston kelmarin, manakala Owens masih bebas. – AFP