CANBERRA, 18 Jan – Empat orang yang menaiki sebuah helikopter yang terhempas ketika dalam perjalanan ke ikonik Uluru di Australia telah dimasukkan ke hospital.
Polis Northern Territory (NT) hari ini mengesahkan bahawa helikopter itu terhempas 1.5 kilometer barat Uluru, batuan terbesar di dunia, pada jam 6 petang, waktu tempatan beberapa minit selepas berlepas pada Rabu lalu.
Helikopter itu membawa tiga orang pelancong bagi menyaksikan matahari terbenam di Uluru. Juruterbang dan salah seorang penumpang masih dalam keadaan parah di Hospital Royal Adelaide pada hari ini dengan kecederaan spina manakala dua orang lagi dalam keadaan stabil di Alice Springs.
Jurucakap bagi Hospital Alice Springs berkata salah seorang dari dua orang itu telah mengalami beberapa keretakan tulang manakala seorang lagi dirawat di hospital bagi langkah berjaga-jaga.
Polis NT berkata helikopter itu terhempas di sebuah kawasan yang tidak boleh dimasuki kereta dan sebuah lagi helikopter diperlukan untuk menyelamatkan para penumpang.
“Helikopter itu terjunam ke semak samun sejurus berlepas kira-kira jam 6 petang,” menurut Superintenden Bertugas Polis NT Rob Farmer kepada wartawan hari ini.
“Sebuah lagi helikopter berjaya mendarat dan memberikan bantuan dengan segera.
“Polis Yulara, perkhidmatan bomba dan penyelamat berserta kakitangan kesihatan telah dimaklumkan dan bergegas menuju ke tempat kejadian.” – Xinhua