SALEM, OREGON, 29 MAC – Lelaki yang didakwa memandu merempuh ke dalam perkhemahan gelandangan di Salem, Oregon, membunuh empat orang, mempunyai kira-kira dua kali ganda had alkohol dalam darahnya, kata pendakwa raya kelmarin.
Enrique Rodriguez Jr, 24, diperintahkan untuk dipenjarakan tanpa ikat jamin oleh hakim kelmarin selepas didakwa atas empat pertuduhan membunuh tanpa niat tahap pertama, serangan tahap kedua, memandu secara cuai dan memandu di bawah pengaruh alkohol.
Kemalangan pada pukul 2 pagi waktu tempatan Ahad lalu meninggalkan suasana huru-hara, dengan orang ramai terperangkap di bawah kereta. Dua orang maut di tempat kejadian dan dua meninggal dunia di hospital, kata polis. Selepas mangsa yang terbunuh dan cedera dibawa pergi, khemah-khemah dirobohkan, troli beli-belah yang terbalik dan pokok yang rosak kelihatan di tempat kejadian. Penduduk yang bersedih meninggalkan sejambak bunga di pangkal pokok. – AP
