Empat hari berturut-turut kebakaran kereta

Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan JBP

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MEI – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) hari ini menyatakan telah menerima beberapa panggilan kecemasan mengenai kebakaran kereta selama empat hari kebelakangan ini yang turut melaporkan dua kes melecur akibat kejadian tersebut.

Menurut JBP lagi, jabatan tersebut telah menerima sebanyak 21 panggilan kecemasan melibatkan kebakaran kereta dari Januari hingga Mac tahun ini.

Sehubungan dengan itu, jabatan berkenaan menyarankan kepada orang ramai untuk memastikan kenderaan mereka dalam keadaan baik dan selamat secara keseluruhannya sebelum digunakan.

Pada kejadian yang berlaku 29 April lalu, jabatan tersebut telah menerima panggilan kecemasan yang melibatkan kebakaran dua buah kereta di kawasan Kampung Jerudong.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Cawangan Operasi F, Daerah Brunei dan Muara, JBP, di sini, hari ini, panggilan bagi kejadian tersebut diterima pada pukul 10:44 pagi dan dua buah jentera dari Balai Bomba Jerudong bersama 10 orang anggota yang diketuai oleh DSO Serudin bin Haji Osman dikejarkan ke tempat kejadian.

Anggota JBP ketika memadam kebakaran pada sebuah kenderaan yang berlaku pada 29 April di Kampung Jerudong.
Van yang terbakar pada bahagian enjin telah menyebabkan kecederaan kepada dua orang pekerja dalam kejadian di Kampung Bebatik, baru-baru ini.

Lori yang mengalami brake jammed di bahagian tayar belakang sebelah kanan yang mengeluarkan asap dalam kejadian berdekatan Lubok Pulau, Tutong, kelmarin.

Turut hadir di tempat kejadian ialah Stesen Komander Balai Bomba Jerudong, Haji Hassan bin Haji Jamudin; Pegawai Balai Aliman bin Haji Salleh, tiga orang pegawai dan anggota dari Bahagian Pegawai Penguatkuasaan Undang-un-dang dan Penyiasatan yang diketuai oleh Pemangku SFR Pengiran Noor Faridahwati binti PSM Pengiran Anak Omar Alli serta empat pegawai dan anggota Pasukan Polis Diraja Brunei dari Balai Polis Sengkurong yang diketuai oleh W/Sgt 3250 Rohaidah binti Haji Pungut.

Kenyataan menyatakan lagi bahawa apabila anggota tiba di tempat kejadian, mereka mendapati api marak membakar keseluruhan dua buah kereta berwarna putih dan biru yang terletak berhampiran di kawasan rumah serta dua buah kereta lagi mengalami kerosakan akibat terkena bahang api.

Siasatan yang dijalankan mendapati bahawa punca api dipercayai daripada kerosakan di bahagian aliran alternator (AC) untuk airflow sensor dan jumlah kerugian dianggarkan kira-kira $5,200.

Sementara itu pada 30 April, JBP menerima panggilan kecemasan melibatkan kebakaran sebuah van yang berlaku di sebuah bengkel kereta di Kampung Bebatik.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Cawangan Operasi A, Daerah Brunei dan Muara, JBP, hari ini, panggilan bagi kejadian berkenaan diterima pada pukul 9:43 malam dan dua buah jentera dari

Balai Bomba Bandar Seri Begawan bersama 10 orang anggota yang diketuai oleh Pegawai Balai Haji Ali bin Haji Muhammad dikejarkan ke tempat kejadian.

Kenyataan menyatakan lagi bahawa apabila tiba di tempat kejadian, anggota bomba mendapati api telah berjaya dipadamkan oleh pemilik bersama tiga orang pekerja bengkel di mana kebakaran yang melibatkan keseluruhan bahagian enjin van itu dipadamkan dengan menggunakan dua alat pemadam api jenis abc dry powder dan CO2.

Anggota bomba hanya menjalankan penyiasatan di tempat kejadian dan seterusnya menunggu Bahagian Pega-wai Penguatkuasaan Undang-undang dan Penyiasatan hadir bagi siasatan selanjutnya.

Dalam kejadian itu, dua orang pekerja telah mendapat kecederaan iaitu seorang lelaki warga Indonesia yang melecur Tahap 2 (60 peratus) pada bahagian kedua belah tangan, kedua belah kaki, dada dan bahagian belakang badan dan dirawat di Unit Rawatan Kebakaran serta seorang lagi lelaki berbangsa Cina mendapat kecederaan melecur Tahap 2 (50 peratus) pada bahagian kedua belah tangan dan dibenarkan pulang.

Hasil siasatan mendapati bahawa punca api dipercayai daripada percikan api dari alternator terkena wap minyak petrol semasa menjalankan kerja-kerja pembersihan bagi hos-hos penyaman udara dan kerugian dianggarkan kira-kira $5,000.

Sementara itu dalam kejadian yang berasingan hari ini, JBP menerima panggilan kecemasan melibatkan sebuah lori yang mengeluarkan asap dalam kejadian berdekatan Lubok Pulau, Tutong.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Cawangan Operasi E, Daerah Tutong, JBP, di sini, panggilan bagi kejadian berkenaan diterima pada pukul 9:39 pagi dengan dua jentera Balai Bomba Tutong bersama 10 orang anggota yang diketuai oleh DSO Rinald bin Tingng dikejarkan ke tempat kejadian.

Kenyataan menyatakan lagi bahawa apabila tiba di tempat kejadian, anggota bomba mendapati sebuah lori berwarna putih membawa tanah mengalami brake jammed di bahagian tayar belakang sebelah kanan lori lalu mengeluarkan asap dan telah pun padam sebelum ketibaan anggota bomba.

Pemandu lori berkenaan merupakan seorang lelaki warga Indonesia dan beliau tidak mengalami sebarang kecederaan.

Hasil pemeriksaan mendapati bahawa punca kejadian dipercayai daripada brake jammed di bahagian tayar belakang sebelah kanan dan kerugian dianggarkan kira-kira $400.

Sehubungan itu, JBP menyarankan kepada orang ramai untuk memastikan kenderaan mereka dalam keadaan baik dan selamat secara keseluruhan sebelum digunakan seperti pemeriksaan kesemua sistem pendawaian dalam keadaan sempurna, memastikan tidak ada sebarang kerosakan dan penyambungan hendaklah dalam keadaan kencang, sentiasa memastikan mana-mana pengubahsuaian atau penambahan sistem elektrik enjin dan aksesori kereta serta pendawaian hendaklah mengikut piawaian yang betul oleh mekanik yang bertauliah kerana arus elektrik kenderaan yang tinggi boleh menyebabkan kabel terbakar, terjadinya kebakaran serta untuk sentiasa mengamalkan sikap bertolak ansur sesama pengguna jalan raya lain bagi menggelakkan sebarang kemalangan.

Orang ramai turut disarankan bahawa jika berlaku sebarang insiden kecemasan, mereka hendaklah berhubung terus ke Pusat Gerakan JBP melalui talian kecemasan 995 dan memberikan maklumat yang tepat.