Empat individu dikenakan kompaun

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 MAC – Empat individu dikenakan kompaun $100 setiap seorang setelah didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Kecil, Penggal 30 Bab 12 (1) kerana membuang sampah di tempat awam kawasan Pusat Bandar Seri Begawan dan Melabau, Serusop, baru-baru ini.

Kesemua mereka didapati melakukan kesalahan berkenaan semasa pemantauan kebersihan yang dijalankan oleh Bahagian Pengutakuasaan Undang-undang, Jabatan Bandaran Badar Seri Begawan (BSB) pada 2 hingga 7 Mac lalu, menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Bandaran BSB, hari ini.

Individu yang dikenakan kompaun itu ialah seorang warga tempatan, Muhammad Nurhakimi bin Ahmadi, dua warga Bangladesh iaitu Mohamad Rasel Miah dan Md Sohel Rana serta seorang warga Indonesia, Teguh Santoso.

Mereka dikehendaki membayar kompaun dalam tempoh tujuh hari dan jika gagal dalam menjelaskan bayaran kompaun berkenaan akan mengakibatkan kes berkenaan dihadapkan ke mahkamah.

Kesalahan pertama boleh membawa hukuman denda $1,000 manakala kesalahan kedua dan seterusnya boleh didenda $3,000 dan penjara tidak melebihi tiga bulan.

Sehubungan itu, orang ramai diingatkan supaya tidak membuang sampah di tempat awam ke arah menjaga kemaslahatan orang ramai dan menjaga kebersihan negara.