Empat individu positif COVID-19 di Sarawak tidak bergejala

KUCHING, 23 JULAI – Empat individu yang didapati positif COVID-19 di Sarawak dari Selasa hingga hari ini, tidak menunjukkan sebarang tanda dan gejala, menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) di sini.

JPBN dalam kenyataan, memaklumkan kes pertama melibatkan seorang wanita warga tempatan yang merupakan seorang peniaga sayur di Pasar Stutong.

“Wanita itu telah menjalani saringan COVID-19 di klinik kesihatan kerajaan pada 18 Julai dan ujian rt-PCR (Reverse Transcriptase – Polymerase Chain Reaction) beliau didapati positif pada 22 Julai. Kes ini tidak menunjukkan sebarang tanda dan gejala.

“Kes kedua merupakan seorang wanita yang juga merupakan pesakit di fasiliti kesihatan yang berkaitan dengan Kluster Sentosa. Kes ini juga tidak menunjukkan sebarang tanda dan gejala,” menurut kenyataan itu.

JPBN menyatakan kes ketiga pula merupakan seorang lelaki yang mempunyai kontak rapat kes indeks Kluster Syarikat Kejuruteraan.

“Beliau pernah disaring pada 12 Julai tetapi keputusan ujian rT-PCR pertama adalah negatif bagaimanapun ujian saringan kedua pada 21 Julai mendapati beliau positif
COVID-19.

“Kes keempat merupakan seorang wanita tempatan yang telah datang menjalani saringan pada 21 Julai di sebuah klinik kesihatan kerajaan dan ujian rT-PCR beliau didapati positif pada 23 Julai,” menurut JPBN. – Bernama