Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MAC – Empat daripada sembilan orang jemaah tabligh yang berada di Kuala Lumpur telah pulang ke tanah air kelmarin.
Keempat-empat mereka ini telah disahkan positif COVID-19 dan telah mendapat rawatan di hospital-hospital di Kuala Lumpur.
Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar berkata, kementeriannya akan meneruskan pemantauan kesihatan mereka untuk memastikan mereka akan terus dalam keadaan yang baik, berpandukan penilaian risiko masing-masing.
Yang Berhormat Dato menjelaskan perkara berkenaan semasa Sidang Media bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.
Semasa sesi soal jawab, Yang Berhormat Menteri Kesihatan turut menjelaskan bahawa pada setakat ini secara rasminya tidak ada sebarang kes positif COVID-19 bagi rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam yang berada di luar negara selain kes di Kuala Lumpur, Malaysia tersebut.
