Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 07 OGOS – Empat orang ketua keluarga yang terlibat dalam kejadian kebakaran dan atap terbang telah menerima bantuan kewangan daripada kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui peruntukan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebu-dayaan, Belia dan Sukan pada majlis yang berlangsung di Bilik Mesyuarat An-Nur, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan kelmarin.
Sumbangan itu disampaikan oleh Pemangku Timbalan Pengarah JAPEM, Dayang Mirany Floridzah binti Abdul Rahman kepada ketua-ketua keluarga tersebut.
Penerima pertama ialah mangsa kebakaran rumah di Kampung Telisai yang rumahnya musnah dijilat api pada 27 Julai lalu. Kebakaran telah meranapkan keseluruhan rumah dan memusnahkan semua harta benda termasuk sebuah kereta.
Tiga lagi ketua keluarga ialah mangsa bencana angin kencang di mana bumbung rumah mereka di Kampung Masin, Kampung Junjongan dan Kampung Saba Darat A telah diterbangkan angin semasa kejadian hujan lebat dan angin kencang pada 10 Julai lalu.
Kesemua mangsa bencana telah menerima bantuan kewangan bagi membantu meringankan kesusahan yang dialami untuk meneruskan kehidupan harian mereka.