Empat kemudahan akan dijadikan pusat pemantauan nCoV

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 FEB – Perkampungan Sukan akan dijadikan sebagai pusat pemantauan bagi individu-individu atau kumpulan yang tiba di Negara Brunei Darussalam yang dikhuatiri terdedah kepada Koronavirus Novel (nCoV).

Pada masa yang sama, Rumah Persinggahan Kerajaan di Daerah Belait, Kompleks Bangunan Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) di Daerah Temburong dan Pusat SEAMEO Voctech di Gadong juga sedang diteliti jika tempat-tempat berkenaan bersesuaian untuk dijadikan sebagai pusat pemantauan.

Perkara itu dijelaskan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong selaku pengerusi Majlis Bencana Kebangsaan dalam temu bual bersama pihak media semasa membuat lawatan ke Perkampungan Sukan, Berakas dan Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, kelmarin.

Sebelum membuat lawatan, Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan Yang Berhormat Menteri Kesihatan telah mendengar taklimat daripada Pengarah Kesihatan Alam Sekitar, Kementerian Kesihatan, Dr Hajah Anie Haryani binti Haji Abdul Rahman mengenai perkembangan terkini 2019-nCoV di bangunan KHEDN.

Taklimat juga telah menyentuh mengenai tindakan-tindakan yang telah dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan yang lain sebagai langkah kesiapsiagaan bagi menangani jangkitan tersebut.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan Yang Berhormat Menteri Kesihatan serta para pegawai meninjau Perkampungan Sukan yang akan dijadikan pusat pemantauan nCoV. – Gambar oleh Bahiyah Bakir
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan Yang Berhormat Menteri Kesihatan ketika meninjau alat pemantauan bagi mengesan suhu badan di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, Berakas. – Gambar oleh Bahyiah Bakir

Yang Berhormat Pehin dan Yang Berhormat Dato seterusnya membuat lawatan ke Perkampungan Sukan Berakas.

Lawatan berkenaan adalah antara usaha pihak kerajaan melalui kerjasama pelbagai pihak bagi mengenal pasti tempat-tempat yang bersesuaian untuk digunakan sebagai pusat pemantauan jika didapati adanya individu-individu atau sekumpulan individu yang dikhuatiri terdedah kepada ancaman koronavirus khususnya mereka yang baru kembali ke Negara Brunei Darussalam.

Pihak KHEDN dan Kementerian Kesihatan juga telah mengenal pasti bebe-rapa buah tempat lain yang berpotensi untuk digunakan sebagai pusat-pusat pemantauan seperti Bangunan Rumah Persinggahan Kerajaan di Daerah Belait dan Bangunan PKBN di Daerah Temburong dan juga sedang meneliti penggunaan Bangunan SEAMEO VOCTECH di Gadong.

Rombongan seterusnya membuat lawatan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Berakas untuk melihat langkah-langkah yang diambil dalam meningkatkan kewaspadaan mencegah jangkitan koronavirus di negara ini.

Kementerian Kesihatan telah mengambil tindakan dengan membuat pemeriksaan kesihatan sejak 21 Januari lalu di pintu-pintu masuk utama ke negara ini seperti di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei dan juga telah dilaratkan di pos-pos kawalan darat iaitu di Sungai Tujoh, Pos Kawalan Kuala Lurah, Pos Kawalan Sementara Labu dan juga di Feri Terminal Serasa.

KHEDN dan Kementerian Kesihatan akan sentiasa bekerjasama secara berterusan dengan agensi-agensi yang berkaitan bagi memperkukuhkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi potensi penularan jangkitan koronavirus di negara ini.