Tuesday, January 21, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Empat kes jangkitan baharu dilapor

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 DIS – Empat kes baharu jangkitan COVID-19 telah dicatatkan hari kedua Fasa Endemik di Negara Brunei Darussalam, hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 kepada 15,376 orang.

    Jumlah kes baharu itu adalah hasil daripada 3,913 jumlah ujian makmal yang dilakukan dalam tempoh 24 jam yang lalu, menjadikan kadar kes positif pada hari ini sebanyak 0.1 peratus.

    Perkara tersebut telah dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar dalam Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam pada hari ini, bertempat di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan.

    Turut hadir pada sidang media tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.

    Menurut Yang Berhormat Menteri Kesihatan, dalam kalangan kes-kes yang sedang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan, tidak ada kes adalah dalam kategori 4 (memerlukan bantuan oksigen dan di bawah rawatan rapi) dan satu kes adalah dalam kategori 5 (memerlukan bantuan mesin pernafasan dan dirawat di Unit Rawatan Intensif).

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa mengongsikan situasi terkini jangkitan COVID-19 di negara ini di Kementerian Kesihatan, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani

    “Sementara itu, tidak ada kematian yang dikaitkan dengan COVID-19 telah dicatatkan dalam masa 24 jam yang lalu,” tambah beliau.

    Manakala 12 kes telah disahkan sembuh pada hari ini yang membawa jumlah kes yang sembuh di Negara Brunei Darussalam kepada 15,058 kes manakala jumlah kes aktif ialah sebanyak 218 kes.

    “Sementara itu, kadar pengisian di pusat-pusat pengasingan di seluruh negara atau bed occupancy rate ialah sebanyak 4.9 peratus,” kongsi Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

    Selain itu, beliau turut mengongsikan pencapaian Program Vaksinasi Kebangsaan yang dicatatkan sehingga kelmarin.

    “Kadar keseluruhan penduduk yang telah menerima sekurang-kurang satu dos vaksin ialah 94.3 peratus; kadar bagi yang telah menerima dua dos vaksin ialah 91.3 peratus, manakala kadar bagi yang telah menerima tiga dos ialah 4.6 peratus,” jelas Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

    Di hujung kenyataannya, Yang Berhormat Menteri Kesihatan menekankan kepada orang ramai untuk mematuhi garis panduan-garis panduan semasa Fasa Endemik bagi
    keselamatan dan kesejahteraan kita semua.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda