Empat lagi kluster di S’wak diisytihar tamat

KUCHING, 25 OGOS – Sebanyak empat kluster COVID-19 di Sarawak diisytiharkan tamat pada hari ini setelah tiada kes baharu dilaporkan dalam tempoh 28 hari dari tarikh kes terakhir.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam satu kenyataan hari ini berkata empat kluster itu ialah Kluster Syarikat Kejuruteraan Kuching, Kluster Sentosa, Kluster PUI Melbourne dan Kluster Pasar Satok.

“Setakat hari ini, jumlah kluster yang masih aktif adalah sebanyak dua dan melibatkan seramai 14 orang kes iaitu Kluster Mambong yang kekal tujuh kes dan Kluster Alam, Bintulu, juga kekal tujuh kes,” kata jawatankuasa itu.

Sementara itu, jumlah kes positif COVID-19 di negeri ini kekal pada 696 kes setelah tiada kes baharu dicatatkan hari ini. – Bernama