Empat lagi pemain Real Madrid positif COVID-19

MADRID, 17 DIS – Empat lagi pemain Real Madrid, termasuk Gareth Bale, disahkan positif COVID-19 kelmarin, menyertai Marcelo dan Luka Modric, yang diumumkan positif COVID-19 sehari sebelumnya.

“Real Madrid C. F. telah memaklumkan bahawa pemain kami, Marco Asensio, Gareth Bale, Andriy Lunin dan Rodrygo dan ketua penolong jurulatih kami, Davide Ancelotti telah diuji positif COVID-19,” kelab itu mengumumkan dalam satu kenyataan ringkas dalam bahasa Inggeris.

Davide Ancelotti ialah anak kepada ketua jurulatih, Carlo Ancelotti. Media tempatan melaporkan bahawa kelima-lima mereka mempunyai simptom ringan.

Real Madrid mengumumkan pada Rabu lalu bahawa Modric dan Marcelo telah diuji positif COVID-19. Manakala pada Isnin lalu, kelab itu juga melaporkan kes positif COVID-19 dalam pasukan bola keranjangnya.

Marcelo menyiarkan video di media sosial kelmarin.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada awda semua atas mesej itu. Saya dan keluarga saya baik-baik sahaja,” kata pemain pertahanan itu dalam mesej dalam bahasa Portugis, Sepanyol dan Inggeris.

Walaupun Real berpotensi tanpa enam pemain untuk perlawanan Liga pada hari Ahad menentang Cadiz, hanya Modric dan Asensio yang bermula pada perlawanan terakhir mereka, menentang Atletico Madrid. Rodrygo keluar dari bangku simpanan, manakala Bale dan Lunin adalah pemain ganti yang tidak digunakan. – AFP

Pemain-pemain Real Madrid bergambar sebelum perlawanan menentang Atletico Madrid pada 12 Disember lalu. – AFP