Empat maut, 12 cedera letupan berkembar di Mogadishu

MOGADISHU, 8 Jan – Sekurang-kurangnya empat orang terbunuh dan 12 yang lain cedera dalam letupan berkembar di sebuah restoran di ibu negara Somalia Mogadishu pada petang kelmarin, pegawai dan saksi mengesahkan hari ini.

Seorang pegawai keselamatan memberitahu Xinhua bahawa beberapa penyerang yang tidak dikenali melemparkan dua bom di kedai makan di daerah Hodan di rantau Banadir.

“Empat orang terbunuh dan 12 yang lain cedera dalam letupan di sebuah restoran di daerah Hodan. Antara yang cedera adalah beberapa pegawai-pegawai kerajaan,” kata pegawai keselamatan yang tidak mahu dikenali.

Restoran sibuk itu sering dikunjungi oleh pegawai-pegawai kerajaan. Saksi berkata, begitu ramai yang berada di restoran pada masa serangan itu. – Xinhua