SRINAGAR, India, 7 Mei – Dua orang penduduk awam, anggota polis dan militan telah terbunuh dalam serangan di wilayah bergolak Kashmir yang dikuasai India, kata polis kelmarin.
Menurut polis, para militan pada petang Sabtu telah melakukan serangan terhadap pihak polis di Mir Bazar di daerah Kulgam, kira-kira 55km selatan bandar Srinagar.
“Malam tadi empat orang terbunuh dan tiga yang lain cedera selepas militan menyerang sebuah rombongan polis yang telah mengawal trafik di jalan raya akibat kemalangan jalan raya,” kata seorang pegawai polis.
“Mereka yang terbunuh telah dikenal pasti sebagai anggota polis, militan yang disyaki dan dua orang penduduk awam.”
Tiga orang termasuk seorang anggota polis cedera dalam kejadian itu, dikejarkan ke Srinagar untuk rawatan.
Pada petang Khamis, seorang pemandu awam terbunuh dan dua tentera cedera selepas militan menyerang sebuah kenderaan rondaan tentera di daerah Shopian. Para tentera menaiki sebuah teksi awam apabila militan melakukan serangan.
Laporan menyatakan tentera memakai jaket kalis peluru dan topi keledar, manakala pemandu awam itu tidak menggunakan sebarang alat pelindung.
Gerakan pemisah dan perang gerila telah mencabar pemerintahan New Delhi yang sedang berlaku di Kashmir yang dikuasai India sejak 1989. – Xinhua