Empat maut dalam letupan masjid

KABUL, 12 JUN – Sekurang-kurangnya empat orang terbunuh dalam letupan semasa solat Jumaat di sebuah masjid di Kabul, kata pegawai Afghan, dalam serangan terbaharu ke atas bandar itu sebelum rundingan dengan pemberontak.

“Berdasarkan maklumat awal, bahan letupan yang diletakkan dalam masjid meletup pada tengah hari semasa sembahyang Jumaat,” kata jurucakap kementerian dalam negeri, Tariq Arian dalam satu mesej kepada wartawan.

Seorang jurucakap kementerian kesihatan juga mengesahkan angka kematian, berkata imam dan tiga jemaah terbunuh di masjid Sher Shah Suri, sementara beberapa orang lain mengalami kecederaan.

Serangan berlaku seminggu selepas serangan Islamic State membunuh dua orang, termasuk seorang imam di sebuah masjid di kawasan zon hijau Kabul.

Presiden Ashraf Ghani berjanji semalam akan menyelesaikan pembebasan tahanan Taliban yang menjadi syarat utama kepada pelancaran rundingan perdamaian dengan pemberontak.

Sebaik sahaja pertukaran dilakukan, kedua-dua pihak telah berjanji akan memulakan rundingan yang mungkin menamatkan perang 19 tahun.

Taliban sebahagian besar mengelak daripada melancarkan serangan besar ke atas bandar Afghan sejak Februari, apabila mereka menandatangani satu perjanjian dengan AS bertujuan membuka laluan kepada rundingan perdamaian dengan kerajaan Kabul. – AFP