Empat maut kapal terbang terhempas

GENEVA, 26 JULAI – Dua warga Swiss dan dua warga Austria terbunuh semalam apabila kapal terbang kecil mereka terhempas di kawasan Alp Swiss, kata polis.

Kapal terbang itu terhempas di satu kawasan berhampiran gunung Gletscherspitze, pada altitud lebih 3,000 meter, di selatan Wallis, kata polis serantau dalam satu kenyataan.

Polis Wallis berkata seorang saksi telah menghubungi polis untuk melaporkan ternampak kapal terbang terjatuh dari langit pada pukul 12:25 tengah hari, dan telah menelefon balik beberapa minit kemudian berkata ternampak asap berkepul-kepul naik dari tapak kemalangan.

Anggota bomba dan pekerja menyelamat yang dibawa dengan helikopter berjaya menemui empat orang dalam kapal terbang, dua warga Swiss berusia 50 dan 66 tahun dan dua warga Austria berusia 46 dan 50 tahun, telah terbunuh. Polis berkata mereka sedang bekerjasama dengan Lembaga Siasatan Keselamatan Pengangkutan Swiss untuk menyiasat punca nahas itu. – AFP