Empat maut, lima cedera letupan di motel

SEOUL, KOREA SELATAN, 26 JAN – Empat orang terbunuh dan lima lagi cedera kelmarin dalam letupan di sebuah motel di timur Korea Selatan.

Ledakan itu berlaku di motel dua tingkat di mana tujuh tetamu menggunakan dapur gas untuk memanggang daging, kata Kim Dong-woo, pegawai dari jabatan bomba di bandar Donghae.

Beliau berkata empat orang di dalam bilik terbunuh dan tiga lagi cedera parah. Ledakan itu juga menyebabkan kecederaan kecil kepada dua tetamu lain yang berada di bilik yang berlainan.

Kim berkata pegawai sedang menyiasat punca letupan tersebut. Kementerian Dalam Negeri dan Keselamatan mengatakan letupan itu mungkin disebabkan oleh kebocoran gas. – AP

Anggota penyiasat Korea Selatan ketika melakukan pemeriksaan terhadap kerosakan di motel berkenaan, kelmarin. – AP