Empat maut pesawat bertembung di udara

MELBOURNE, 19 FEB – Empat orang terbunuh dalam nahas udara antara dua pesawat ringan di Australia hari ini, dengan serpihan pesawat bertebaran di kawasan pedalaman utara Melbourne.

Polis berkata, kedua-dua pesawat enjin berkembar itu masing-masing membawa juruterbang dan seorang penumpang tatkala ia berlanggar kira-kira 1,200 meter di atas bandar Mangalore.

Imej dari tempat kejadian di daratan menunjukkan logam berpintal dan serpihan badan pesawat bertaburan di ladang dan di antara pokok.

Polis berkata, kedua-dua pesawat terbang secara sah di kawasan itu tetapi siasatan sedang dijalankan.

“Kami tidak pasti mengapa kedua-dua pesawat itu betul-betul berada di lintasan yang sama atau mengapa mereka berada di kawasan itu tetapi malangnya mereka bertembung di udara,” kata Inspektor Polis, Peter Koger.

Satu pesawat baru sahaja berlepas dari lapangan terbang berdekatan tetapi pesawat yang lagi satu masih belum jelas asal dari mana, katanya. – AFP