Empat maut rumah orang tua terbakar

MOSCOW, 9 APRIL – Empat orang terbunuh dan sekurang-kurangnya enam lagi dibawa ke hospital kerana tersedut asap selepas satu kebakaran meletus di sebuah rumah orang tua Moscow, kata penyiasat hari ini.

Penghuni pusat penjagaan persendirian di barat laut bandar meminta bantuan dari tingkap tatkala asap tebal menyelubungi bangunan, beritahu sumber dalam perkhidmatan kecemasan kepada agensi berita TASS.

Terdapat lebih daripada 50 orang dalam pusat itu apabila kebakaran meletus pada petang semalam, kata Jawatankuasa Siasatan, yang menyiasat kejadian serius, dalam satu kenyataan.

“Akibatnya, empat orang terkorban, enam dibawa ke pusat perubatan akibat tersedut asap,” katanya, sementara jumlah orang yang cedera masih tidak dapat disahkan. Agensi berita Interfax memetik satu sumber sebagai berkata seramai 15 orang yang cedera, yang berusia dari 66 hingga 90 tahun, telah dimasukkan ke hospital dalam keadaan serius dan empat memerlukan ventilator untuk bernafas.

Jawatankuasa Siasatan berkata satu siasatan jenayah akan menilai sama ada kematian telah berpunca akibat kecuaian dan sama ada terdapat pencabulan peraturan keselamatan kebakaran. Penolong datuk bandar Moscow Pyotr Biryukov berkata kebakaran dipercayai bermula dalam bilik dandang tingkat bawah tanah apabila bahan diesel meletup, lapor agensi berita RIA Novosti.

Salah seorang yang maut dilaporkan bekerja dalam bilik dandang. – AFP

Pekerja kecemasan berkumpul semasa satu kebakaran di sebuah rumah orang tua di Moscow, Rusia, kelmarin. – AP