ISTANBUL, 28 Okt – Para pemimpin Turki, Rusia, Perancis dan Jerman semalam menggesa gencatan senjata yang tidak kukuh dikekalkan di Idlib, Syria, kubu terakhir yang dikuasai oleh pemberontak, ekoran sidang kemuncak utama yang bertujuan mencari penyelesaian politik pada perang saudara tujuh tahun, yang memusnah di negara itu.
Dalam kenyataan bersama yang dibentuk pada akhir rundingan di Istanbul, keempat-empat negara itu menyambut baik ‘perkembangan’ selepas perjanjian bulan lalu antara penyokong rejim Syria, iaitu Rusia dan pemberontak sokongan Turki untuk membentuk zon penampan sekitar wilayah barat laut Idlib.
Erdogan telah mengadakan pertemuan dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin, Emmnuael Macron dari Perancis dan Canselor Jerman, Angela Merkel bagi rundingan lanjut berhubung konflik Syria, yang mana lebih 360,000 orang telah terkorban sejak 2011.
Kenyataan itu juga menggesa sebuah jawatankuasa ditubuhkan untuk mendraf perlembagaan Syria selepas perang sebelum akhir tahun ini, ‘yang membuka laluan bagi pilihan raya bebas dan saksama’, di negara yang telah musnah akibat peperangan itu.
Rancangan saingan dari PBB bagi jawatankuasa itu membentuk perlembagaan telah terkandas minggu ini, dengan utusan khas PBB Staffan de Mistura, yang menghadiri sidang mesyuarat itu mengatakan Damsyik menolak PBB untuk mempunyai peranan dalam proses pemilihan.
Keempat-empat pemimpin yang berada di Istanbul itu berikrar akan ‘bekerjasama untuk mewujudkan suasana aman dan stabil di Syria’ dan ‘menggalakkan penyelesaian politik dan mengukuhkan kese-pakatan antarabangsa’.
Kenyataan sidang kemuncak itu juga bercakap tentang ‘perlunya untuk memastikan kemasukan cepat, selamat tanpa halangan di seluruh Syria dan bantuan kemanusiaan segera untuk membantu semua orang yang memerlukan.” – AFP
