BANGKOK, 17 JULAI – Empat lelaki yang didakwa memeras ugut AS$19,000 daripada dua pelancong China di Lebuhraya No. 7 menuju Pattaya, Chon Buri adalah pegawai polis, kata Komander Polis Wilayah 2, Mejar Jeneral Polis, Teerachai Chamnanmor.
Teerachai berkata, kesemua pegawai tersebut masih menafikan tuduhan itu dan penyiasat sedang mengumpul bukti serta saksi bagi kes tersebut.
Isu tersebut timbul apabila pemilik perniagaan kereta sewa menyerahkan klip video dari kamera papan pemuka kepada laman Facebook ‘Sai Mai Tong Rod’, yang menerima aduan awam mengenai tindakan pegawai terbabit.
Dalam video tersebut, dua pelancong China dilihat memandu kenderaan dari lapangan terbang menuju Pattaya di Lebuhraya No. 7, apabila mereka terpaksa berhenti dan dihalang oleh sebuah SUV putih.
Tidak lama kemudian, sebuah SUV hitam tiba dan sekurang-kurangnya empat lelaki dalam kenderaan tersebut dengan cepat mengelilingi kenderaan pelancong, mendakwa mereka adalah pegawai polis dan meminta untuk memeriksa pasport pelancong, sebelum mengambil gambar mereka. Video itu berakhir selepas lelaki tersebut mengarahkan penumpang keluar dari kenderaan.

Pemuat naik video itu berkata, dua pelancong China tersebut diminta membayar AS$19,000 sebagai pertukaran untuk pembebasan mereka. Keberadaan mereka kini tidak diketahui.
Selepas video itu tular, Jurucakap Polis Diraja Thai, Leftenan Jeneral Polis, Archayon Kraithong, berkata penyiasat tidak menemui dua pelancong dalam klip tersebut dan syarikat kereta sewa itu tidak membuat aduan kepada polis.
“Ini adalah perkara yang serius dan pengadu mesti membuat aduan di balai polis yang bertanggungjawab di kawasan kejadian,” katanya.
“Namun, pasukan penyiasat akan berusaha mengendalikan kes ini walaupun tiada pengadu yang muncul.
“Kami menjangka untuk mendedahkan lebih banyak butiran dalam masa dua hari,” tambahnya. – ANN/The Nation