Empat pelajar Brunei di Kaherah disahkan positif COVID-19

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 MEI – Empat pelajar Negara Brunei Darussalam yang menetap di Kaherah, Republik Arab Mesir telah disahkan positif COVID-19 setakat hari ini.

“Kementerian Hal Ehwal Ugama memaklumkan berdasarkan maklumat yang diterima daripada pihak Ataci Pelajaran dan Kebudayaan, Kedutaan Besar Negara Brunei Darussalam di Republik Arab Mesir empat pelajar disahkan positif COVID-19.”

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman ketika mempengerusikan bersama Sidang Media Situasi Pandemik COVID-19 Pelajar-pelajar Negara Brunei Darussalam yang Menetap di Kaherah, Republik Arab Mesir yang berlangsung di Bangunan Tambahan Baru, KHEU, hari ini.

Sidang media itu turut dipengerusikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Paduka Seri Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama ketika menjelaskan mengenai situasi pandemik COVID-19 pelajar Brunei di Kaherah.
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama dan Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa sidang media mengenai situasi pandemik COVID-19 pelajar-pelajar Negara Brunei Darussalam yang menetap di Kaherah, Republik Arab Mesir yang berlangsung di KHEU.

Yang Berhormat Pehin berkata, pada masa ini, terdapat 30 pelajar Brunei yang berada di Republik Arab Mesir.

Mengenai pelajar Brunei yang positif COVID-19, Yang Berhormat Pehin berkata bermula dari kes pertama yang dikesan, semua pelajar yang berada di Kaherah diaturkan untuk menjalani ujian swab secara berfasa serta pengasingan diri di kediaman masing-masing dan setakat ini, seramai 15 orang telah menjalani ujian swab berkenaan.

“Berikutan situasi itu, KHEU telah bekerjasama dengan Kedutaan Besar Negara Brunei Darussalam di Republik Arab Mesir dan Kementerian Kesihatan, Negara Brunei Darussalam dalam memantau perkembangan kesihatan para pelajar di Republik Arab Mesir.”

Yang Berhormat Pehin menyatakan antara usaha yang dilaksanakan adalah termasuk pemantauan kesihatan secara berterusan, pelaksanaan pengesanan kontak bagi pelajar dan tenaga kerja, pembekalan makan dan minum dan perubatan serta keperluan-keperluan lain. Beliau juga menerangkan pelajar yang positif itu tidak mengalami sebarang simptom dan dalam keadaan yang baik.

“Pada masa yang sama, para pelajar yang berada di Kaherah dan yang berada di Republik Arab Mesir amnya disarankan untuk sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dari semasa ke semasa bagi mengelakkan jangkitan pandemik COVID-19.”

“Pelajar juga dinasihatkan untuk sentiasa memaklumkan kondisi masing-masing setiap hari kepada pihak pengurusan pelajar di Republik Arab Mesir.”

Dalam hubungan itu, ibu bapa, penjaga dan keluarga pelajar adalah dinasihatkan untuk tidak merasa cemas dengan situasi berkenaan.

Yang Berhormat Pehin menyatakan yang KHEU akan terus bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan pihak-pihak berkenaan dalam memantau situasi pandemik COVID-19 di Republik Arab Mesir dan seterusnya mendapatkan nasihat yang bersesuaian dengan keadaan semasa.

Menurutnya lagi, bagi sebarang pertanyaan lanjut mengenai perkara tersebut bolehlah merujuk ke Bahagian Sumber Tenaga Manusia dan Biasiswa, di Tingkat 14, Blok 2J, Jabatan Pengajian Islam atau melalui talian telefon, 2231064 semasa waktu pejabat atau e-mel, [email protected]

Sementara itu, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham mengongsi mengenai keadaan di jangkitan pandemik COVID-19 di Republik Arab Mesir di mana negara berkenaan mengalami gelombang ketiga dengan setakat ini, jangkitan di negara tersebut adalah hampir 240,000 orang dengan jumlah kematian adalah lebih 13,000.

Beliau menekankan bahawa memang terdapat kekhuatiran mengenai keadaan berkenaan dan pihaknya akan terus memantau keadaan itu dari semasa ke semasa.