Empat pelarian Rohingya maut akibat cirit-birit

COX’S BAZAR, BANGLADESH, 17 JUN – Para pegawai Bangladesh berkata hari ini mereka telah mengekang penularan wabak cirit-birit yang telah membunuh empat pelarian Rohingya, selain menjangkiti 1,500 orang lain di kem pulau sehingga mengundang kebimbangan kumpulan hak asasi dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Bangladesh telah memindahkan hampir 18,000 pelarian dari penempatan sempit ke kem Bhashan Char yang terletak di kawasan rendah.

Namun ramai yang dipindahkan mendakwa mereka dipaksa berbuat demikian dengan kemudahan seperti kesihatan di pulau yang sering dilanda taufan, juga teruk.

Menurut sumber dalam kalangan pegawai dan etnik Rohingya, wabak cirit-birit mula meletus awal bulan ini, selepas dilanda hujan monsun pertama.

Kira-kira empat etnik Rohingya mati dalam tempoh dua minggu lalu, iaitu seorang wanita berusia 20 tahun dan tiga anaknya, kata dua pegawai di pulau itu kepada AFP.

Dr Rahat Tanvir Anwar yang bertugas di satu-satunya klinik dilengkapi 20 katil di pulau itu berkata, sekitar 1,550 orang iaitu hampir 10 peratus populasi di pulau itu, dijangkiti wabak berkenaan dan sekitar 600 orang memerlukan rawatan di hospital.

“Keadaan bertambah baik. Kami menambah 10 lagi katil di hospital untuk merawat pesakit. Hari ini, hanya ada 14 pesakit cirit-birit di hospital,” katanya kepada AFP.

Ketua kesihatan serantau berkata wabak itu sudah dibendung selepas pihak berkuasa mengagihkan 33,000 tablet penulenan air dan 35,000 dos cecair penyahidaratan oral.

Sementara itu, Ketua Kesihatan Daerah, Masum Iftekhar, berkata pihaknya segera menyampaikan pendidikan kesihatan kepada pelarian berkenaan supaya mereka tidak minum air, selain sumber diambil dari telaga. – AFP