Saturday, April 19, 2025
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Empat pemandu dikenakan kompaun

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Okt – Empat pemandu dikenakan kompaun kerana melanggar akta dan peraturan lalu lintas jalan raya semasa para pegawai penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) menjalankan sekatan dan rondaan, baru-baru ini.

    Dua pemandu, Abdul Aziz bin Haji Taha dan Tan Siu Boon masing-masing dikenakan kompaun $150 dan sembilan mata demerit SiKAP kerana kegagalan memakai tali pinggang keledar semasa memandu. Tan Siu Boon juga dikenakan kompaun $50 kerana memandu kenderaan yang tidak dalam keadaan baik iaitu cermin besar di bahagian depan retak.

    Sementara itu, pemandu dari Syarikat Ba’hasda, Baljinder Singh didapati melakukan empat kesalahan iaitu tidak membawa Sijil Kelayakan Kenderaan dan dikenakan kompaun $200, memandu kenderaan yang tidak dalam keadaan baik $50, tidak memasang tanda arahan had laju $50 serta memandu kenderaan dengan tayar botak dan tidak selamat dengan dikenakan kompaun $50 dan enam mata demerit SiKAP.

    Pemandu kenderaan dari Syarikat SQ Stone Sdn Bhd, Zakius Palatus pula dikenakan kompaun sebanyak $500 kerana memandu kenderaan dengan lebih muatan iaitu kesalahan kali keempat dan syarikat tersebut dikeluarkan notis penggantungan sementara Lesen Sewa dan Upah selama tiga bulan. Sebagai tambahan, Zakius juga dikenakan kompaun $100 dan tiga mata demerit SiKAP atas kesalahan membawa muatan dengan bahaya dan jatuh dari kenderaan yang boleh membahayakan pengguna jalan raya lain.

    Kesemua kesalahan berkenaan didapati dalam sekatan dan rondaan di Lebuh Raya Berakas Muara pada 2 Oktober 2018, Jalan Muara Serasa pada 6 Oktober dan Lebuh Raya Hassanal Bolkiah pada 9 Oktober 2018.

    JPD dalam kenyataannya mengingatkan semua pemandu kenderaan sama ada persendirian atau syarikat komersil supaya akan dapat mematuhi akta dan peraturan lalu lintas jalan raya.

    Kenyataan menekankan, JPD akan terus melakukan rondaan dan operasi di jalan-jalan raya di negara ini dan tidak akan teragak-agak untuk mengeluarkan sebarang kompaun dan pemberian mata demerit SiKAP terhadap mana-mana pemandu kenderaan didapati tidak mematuhi akta dan peraturan lalu lintas.

    Zakius Palatus.
    Tan Siu Boon.
    Baljinder Singh.
    Abdul Aziz didapati gagal memakai tali pinggang keledar semasa memandu.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda