Empat pemberontak maut di Kashmir

SRINAGAR, INDIA, 22 APRIL – Anggota tentera India membunuh empat pemberontak dalam satu kejadian tembakan di Kashmir yang dipertikaikan semasa negara itu sedang mengenakan perintah berkurung untuk memerangi koronavirus, kata tentera India hari ini.

Pertempuran itu meletus di sebuah perkampungan di daerah selatan Shopian ketika polis dan tentera anti-pemberontakan menyerbu sebuah rumah dengan maklumat bahawa militan bersembunyi di sana lewat kelmarin, kata jurucakap tentera Kolonel Rajesh Kalia.

Semasa serbuan itu, anggota tentera meletupkan rumah dengan bahan letupan, taktik biasa yang sering digunakan oleh pasukan keselamatan, kata penduduk.

India telah meneruskan serbuan di seluruh Kashmir walaupun berdepan dengan kesukaran ketika memerangi koronavirus. Militan juga tidak menghentikan serangan terhadap pasukan kerajaan dan pemberi maklumat. Pada hari Ahad, militan menyerang pos tentera dan membunuh tiga tentera.

Keganasan terbaharu berlaku di tengah pertempuran hampir setiap hari antara tentera Pakistan dan India di sepanjang perbatasan yang membahagikan Kashmir.

Pegawai Amritpal Singh berkata polis belum mengenal pasti militan yang terbunuh.

Penduduk menyiarkan berita tersebut di media sosial dan mengatakan bahawa militan itu adalah pemberontak tempatan. – AP