Empat perogol ditembak polis

NEW DELHI, 6 DIS – Polis di Telangana, selatan India pada Jumaat ini membunuh empat suspek yang terlibat dalam kes rogol dan bunuh, yang telah menggemparkan dan mencetuskan kemarahan dalam kalangan rakyat negara itu.

Bulan lalu mayat seorang doktor haiwan berusia 25 tahun dijumpai berdekatan dengan Hyderabad, dalam keadaan menyayat hati dipercayai dibunuh dengan kejam selepas dirogol. Kejadian itu membangkitkan lagi kemarahan rakyat di negara ini yang mencatatkan lebih 100 kes rogol setiap hari.

Media India melaporkan, keempat-empat suspek yang sedang dalam tahanan polis Telangana itu dibawa ke lokasi kejadian pada Jumaat pagi untuk membantu siasatan, namun ditembak mati ketika mereka cuba melarikan diri.

“Keempat-empat tertuduh dibunuh ketika bertembung dengan anggota polis,” kata Pesuruhjaya Polis Daerah V.C. Sajjanar. Dua anggota polis turut cedera dalam kejadian itu. Kematian suspek berkenaan dilihat meredakan sedikit kemarahan rakyat dan ramai menyokong tindakan  pihak polis itu.Keluarga mangsa berkata tindakan polis harus dijadikan pengajaran dan peringatan kepada mereka yang mahu melakukan perbuatan keji itu.

“Rohnya kini boleh berehat dengan tenang,” kata bapa kepada mangsa rogol itu. Sebelum ini, satu lagi kes rogol turut mencetuskan kemarahan orang ramai, membabitkan seorang pelajar yang dirogol dan dibunuh dalam sebuah bas di New Delhi pada 2012.

“Saya sangat gembira dan ingin mengucapkan tahniah kepada polis Hyderabad kerana melakukan tindakan itu. Keadilan telah ditegakkan. Saya berharap anggota polis berkenaan tidak dikenakan tindakan displin,” kata ibu kepada pelajar tersebut.

Bagaimanapun, tindakan polis itu turut menimbulkan persoalan kepada segelintir pihak mengenai kedaulatan undang-undang di India, di mana polis dilihat adakalanya bertindak melampaui batas peraturan yang dihadkan. – Bernama

Polis mengawasi kawasan berlakunya tembak-menembak antara polis dan suspek rogol serta bunuh. AP