Empat polis didakwa bunuh Floyd

WASHINGTON, 4 JUN – Bekas anggota polis yang menyebabkan kematian George Floyd berdepan tuduhan membunuh tahap kedua, manakala tiga lagi dituduh bersubahat, lapor agensi berita Anadolu.

Peguam Negara Minnesota, Keith Ellison yang mengumumkan perkara itu pada sidang media semalam, berkata Derek Chauvin, pegawai Jabatan Polis Minneapolis sudah dipecat dan kini ditahan.

“Saya yakin bukti yang ada sekarang menjadi bukti kukuh untuk menyokong tuduhan pembunuhan tahap kedua,” kata Ellison.

Selain itu, katanya waran tangkap dikeluarkan untuk tiga pegawai lain yang juga sudah dipecat. Tiga pegawai itu Thomas Lane, J. Alexander Kueng dan Tou Thau berdepan tuduhan bersubahat.

“Saya sangat percaya perkembangan ini demi keadilan buat George Floyd, keluarganya, masyarakat serta negara kita.”

Sementara itu, peguam yang mewakili keluarga George Floyd, Benjamin Crump berkata belum tiba masa untuk meraikannya kerana tertuduh belum disabitkan bersalah, sambil menambah keluarga mangsa mahu Chauvin didakwa dengan kesalahan membunuh tahap pertama. – Bernama