Empat premis makanan popular diarah tutup

LABUAN, 9 SEPT – Empat premis makan popular di sini diarah tutup sementara kerana tidak menjaga kebersihan di bahagian dapur, kata Pengarah Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari,

Arahan penutupan itu dikeluarkan ketika pemeriksaan mengejut selama empat jam terhadap tempat makan dan hotel di pulau bebas cukai ini malam semalam.

“Kami mengunjungi dan memeriksa restoran serta tempat makan ini dan mendapati keadaan yang mengecewakan.. tahap kebersihan jauh di bawah tahap sederhana,” katanya kepada Bernama. Beliau berkata operasi pengendalian kawalan tembakau dan prosedur operasi standard kebersihan itu adalah untuk memastikan kualiti makanan dan kebersihan sentiasa dikekalkan.

“Kami tidak bertolak ansur dengan populariti restoran atau hotel, yang penting ialah piawaian aspek kebersihan yang harus dipatuhi oleh pengendali makanan,” tegasnya.

Dr Asmuni berkata pemeriksaan akan dijalankan secara berkala bagi memastikan semua kedai makan mematuhi Akta Makanan 1983.

Katanya, premis yang diarah tutup perlu melakukan kerja-kerja pembersihan dalam tempoh 14 hari dan boleh beroperasi semula setelah pihaknya berpuas hati dengan tahap kebersihan di premis berkenaan. – Bernama