Empat sekolah UNICEF di kem Rohingya musnah

COX’S BAZAR, BANGLADESH, 19 JAN – Empat sekolah di bawah Tabung Darurat Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) untuk kanak-kanak Rohingya di kem pelarian di Bangladesh musnah dalam kebakaran, kata pegawai hari ini, dengan UNICEF menggambarkannya sebagai perbuatan yang disengajakan.

Tidak jelas siapa yang bertanggungjawab dalam insiden ketika sekolah tersebut kosong, bahkan keadaan keselamatan di kem yang menampung sekitar satu juta orang juga semakin teruk dalam beberapa bulan terakhir ini.

Minggu lalu kebakaran yang disangka asap daripada masakan di salah sebuah kem telah menyebabkan ribuan pelarian yang berasal dari Myanmar kehilangan tempat tinggal.

Razwan Hayat, pesuruhjaya pelarian Bangladesh memberitahu AFP bahawa dia percaya kebakaran terbaharu itu tidak disengajakan dengan mengatakan bahawa sekolah-sekolah itu dibina daripada bahan mudah terbakar.

“Kami sedang menyiasat. Tetapi kami berfikir ia merupakan satu kemalangan. Pusat-pusat ini bukan struktur kekal,” tambahnya lagi.

Keadaan pusat pembelajaran UNICEF yang terbakar di kawasan kem Rohingya, kelmarin. – AFP

Namun, UNICEF dalam catatannya di Twitter berkata kejadian itu mungkin dikaitkan dengan perbuatan yang telah dirancang dan memberitahu ia akan bekerjasama untuk menilai kerosakan akibat insiden tersebut dan mempercepat proses pembinaan semula pusat pembelajaran berkenaan.

UNICEF mengendalikan sekitar 2,500 pusat pembelajaran di 34 kem pelarian di daerah sempadan tenggara Bangladesh, Cox’s Bazar. Kira-kira 240,000 kanak-kanak Rohingya mengikuti pembelajaran di sana sebelum COVID-19 mulai menular.

Pusat pembelajaran tersebut kemudiannya ditutup selama berbulan-bulan bagi melaksanakan langkah-langkah untuk memerangi penyebaran koronavirus tetapi dijangka dibuka semula bulan depan, kata pekerja bantuan.

Sekitar 750,000 Rohingya tinggal di kem tersebut setelah melarikan diri daripada tindakan keras tentera di Myanmar pada tahun 2017 yang disamakan oleh PBB sebagai pembersihan etnik.

Terdapat sedikit kemungkinan mereka akan kembali ke Myanmar, yang menyebabkan ketegangan dengan penduduk setempat dan mendorong mereka melakukan perjalanan laut yang berbahaya ke Malaysia dan Indonesia.

Sementara itu, beberapa bulan kebelakangan ini berlaku pertembungan antara kumpulan termasuk militan Arakan Rohingya Salvation Army (ARSA), yang membunuh tujuh orang dan menyebabkan banyak rumah musnah. – AFP