Empat singa di Singapura dijangkiti koronavirus

SINGAPURA, 10 NOV – Empat singa di taman perlindungan hidupan liar Singapura telah diuji positif koronavirus selepas bersentuhan dengan penjaga zoo yang dijangkiti dan dikesan mempunyai simptom termasuk batuk dan bersin, kata para pegawai hari ini.

Singa Asia terancam itu mulanya menunjukkan tanda-tanda sakit pada hujung minggu, menyebabkan para pegawai untuk mengarahkan ujian koronavirus.

Perkhidmatan haiwan dan veterinar kerajaan berkata, kucing terbesar yang dijangkiti itu bersama lima lagi haiwan di taman Night Safari ditempatkan di lokasi berasingan dari sarangnya.

“Kesemua singa itu kekal sihat, cergas dan aktif.

“Kita menjangkakan singa-singa itu akan sembuh sepenuhnya dengan rawatan sokongan sederhana,” kata Sonja Luz dari Kumpulan Hidupan Liar Mandai, yang mengendalikan taman berkenaan.

Gambar fail bertarikh 20 September 2013 menunjukkan singa Asia di Taman Night Safari, Singapura. – Xinhua.

Tiga penjaga zoo Night Safari itu disahkan dijangkiti virus dan zoo terbuka itu juga adalah habitat kepada ratusan haiwan, dan mengalu-alukan kehadiran pengunjung pada waktu malam.

Seekor singa Afrika di Zoo Singapura, bersebelahan Night Safari itu juga didapati jatuh sakit dan para pegawai telah mengarahkan saringan dilakukan.

Luz mengatakan risiko untuk haiwan menjangkiti virus itu kepada manusia adalah rendah.

Kedua-dua zoo berkenaan bagai-manapun kekal dibuka, namun pertunjukan singa masih ditutup.

Sebelum ini, banyak haiwan yang dijangkiti dengan virus berkenaan seperti di zoo Amerika Syarikat, di mana singa, harimau dan gorila diuji positif, manakala kucing serta anjing peliharaan juga turut terkena.

Singapura ketika ini dilanda penularan COVID-19 yang teruk sejak permulaan pandemik dan dilaporkan 2,000 ke 3,000 kes sehari dengan jumlah kematian yang tinggi. – AFP