BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Mei – Dua buah syarikat, Syarikat Perusahaan Sinar Amnor dan Syarikat Wafi’ah Aiyub Jaya Sdn Bhd masing-masing dikenakan denda $500 dan $200 kerana didapati bersalah melonggokkan sampah di tempat awam dan di kawasan tanah lapang semalam.
Denda kompaun dikeluarkan oleh Bahagian Perlesenan dan Penguatkuasaan, Jabatan Daerah Brunei dan Muara di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Kecil (Penggal 30).
Sementara itu, dalam operasi sama yang dijalankan beberapa hari sebelum ini, dua buah syarikat juga dikenakan denda kompaun sebanyak $500. Syarikat terbabit ialah Syarikat Amity Trade Headways Sdn Bhd dan Rycon Company.
Kesemua syarikat yang dikeluarkan denda kompaun ini diberikan tempoh tujuh hari untuk menjelaskan denda kompaun dan diarahkan melakukan kerja-kerja pembersihan di kawasan berkenaan. Jika gagal menjelaskan denda kompaun, mereka boleh dihadapkan ke mahkamah.
Sehubungan itu, jabatan sekali lagi mengingatkan orang ramai dan premis-premis perniagaan agar sentiasa peka mengenai kebersihan dan memberikan kerjasama bagi memastikan negara ini bebas daripada kekotoran.
