Empat warga Vietnam diberkas terlibat kegiatan tidak bermoral

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 DIS – Beberapa buah bilik penginapan dan bilik sewa di kawasan Bandar Seri Begawan telah diserbu oleh keanggotaan Unit Penumpasan Perjudian dan Pencegahan Maksiat dan Unit Siasatan Pecah Rumah dan Curi Kereta, Jabatan Siasatan Jenayah, Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB).

Operasi yang dikendalikan secara berasingan pada 5 Disember 2019 itu berjaya memberkas dua orang wanita warga Vietnam yang dipercayai terlibat dalam aktiviti tidak bermoral manakala dua orang lelaki warga Vietnam yang dipercayai dalang dalam aktiviti tersebut, turut ditahan untuk siasatan.

Wanita tersebut, Tran My Hang, 30 tahun telah berada di negara ini sejak 28 November 2019 dan Ha Thanh Huyen, 18 tahun juga telah berada di negara ini sejak 15 November 2019 dengan menggunakan pas pelawat.

Manakala dua lelaki yang ditahan ialah Nguyen Van Dat, berumur 22 tahun dan Nguyen Ngoc Thao, 24 tahun.

Hasil daripada pemeriksaan yang dijalankan turut menemukan beberapa bahan
bukti berserta sejumlah wang tunai.