Enam bilion populasi telah divaksinasi

PARIS, 22 SEPT – Lebih enam bilion dos vaksin COVID-19 telah pun diberikan di seluruh dunia, menurut perangkaan AFP hari ini berdasarkan sumber rasmi.

Kempen vaksinasi telah mencecah tahap stabil yang mengambil masa 29 hari untuk mencatat dos keenam bilion, hampir pada kadar yang sama apabila ia mencecah keempat dan kelima bilion pada 30 dan 26 hari masing-masing.

Sebaliknya, ia mengambil masa kira-kira 140 hari untuk memberikan dos satu bilion pertama.

Hampir 40 peratus (2.18 bilion) daripada enam bilion dos telah diberikan di China. India (826.5 juta) dan Amerika Syarikat (386.8 juta) melengkapi ketiga-tiga negara yang telah diberikan suntikan paling banyak.

Di antara negara dengan populasi lebih satu juta, Amiriah Arab Bersatu (UAE) memimpin dengan 198 dos setiap 100 penduduk, dengan lebih 81 peratus daripada populasi menerima vaksinasi lengkap.

Uruguay menyusul dengan 175 dos setiap 100 penduduk, diikuti oleh Israel (171), Cuba (163), Qatar (162) dan Portugal (154).

Sesetengah negara, termasuk Israel, UAE dan Uruguay telah mula memberikan suntikan penggalak dengan tujuan mempertingkat lagi imuniti di kalangan penduduk yang sudah menerima suntikan dos lengkap.

Negara berpendapatan tinggi seperti yang ditakrifkan oleh Bank Dunia, memberikan 124 dos setiap 100 penduduk berbanding empat dos setiap 100 penduduk di negara berpendapatan rendah.

Negara yang masih belum memulakan kempen vaksinasi adalah Burundi, Eritrea dan Korea Utara. – AFP

Seorang jururawat mengambil bebuli vaksin Pfizer di klinik di Arleta, Los Angeles, California. – AFP