Saturday, April 20, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Enam buah kereta dijilat api

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar serahan JBP

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MAC – Sebuah garaj bersama enam buah kereta terbakar manakala sebahagian dinding rumah mengalami kerosakan dalam insiden kebakaran di Kampung Sungai Tampoi, Sengkurong pada awal pagi, 27 Februari lalu.

    Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini, menyatakan seramai 10 orang anggota dari Balai Bomba Jerudong, Cawangan Operasi ‘F’ yang diketuai oleh DSO Misli bin Haji Pungut, dikejarkan ke tempat kejadian pada pukul 2:35 pagi.

    Menurut JBP, apabila anggota bomba tiba, mereka mendapati garaj kereta berukuran kira-kira 6 meter lebar dan 20 meter panjang berkenaan telah terbakar keseluruhannya dengan melibatkan enam buah kereta dan sebuah motosikal serta sebahagian dinding rumah.

    Api dapat dikawal daripada merebak manakala punca serta anggaran kerugian masih dalam siasatan dan tidak ada kemalangan jiwa berlaku dalam kejadian itu.

    JBP terus menyarankan orang ramai untuk memastikan kediaman mereka dilengkapi dengan peralatan iaitu alat pemadam api jenis debu kering 4 kilogram dan selimut api, memastikan menutup suis mana-mana peralatan elektrik selepas digunakan atau sebelum meninggalkan rumah, jangan sesekali meninggalkan masakan di dapur tanpa diawasi dan jika terdapat kebocoran pada gas untuk memastikan membuka jendela dan pintu bagi pengudaraan serta memastikan penyelenggaraan wayar elektrik dikendalikan oleh syarikat yang bertauliah mengikut piawaian yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Elektrik.

    Orang ramai turut disarankan bahawa jika berlaku sebarang insiden kecemasan, mereka hendaklah berhubung terus ke talian kecemasan 995 dan memberikan maklumat yang tepat.

    Anggota bomba memadam api yang memusnahkan garaj dan enam buah kereta sekali gus di Kampung Sungai Tampoi, Sengkurong.
    Keadaan sebuah garaj kereta dan sebahagian dinding rumah yang terlibat dalam insiden kebakaran di Kampung Sungai Tampoi, Sengkurong pada awal pagi 27 Februari lalu.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...