Enam ditemui mati dalam lombong emas

OUAGADOUGOU, 3 SEPT – Enam maut dan enam cedera selepas mereka menyelinap masuk ke dalam sebuah lombong emas di Burkina Faso, dipercayai kerana kekurangan oksigen, kata polis semalam.

“Pelombong haram itu menyeludup masuk ke bilik lama lombong emas Bissa di wilayah utara Bam semalam.

“Pencarian oleh anggota keselamatan di lokasi itu kemudian menemui enam mayat dan punca kematian disyaki kerana kekurangan udara disebabkan kedalaman lubangnya,” kata polis dalam satu kenyataan.

Seorang pekerja memberitahu, penduduk setempat, yang kebanyakannya pelombong emas tradisional, telah bertindak meluahkan kemarahan mereka dengan merosakkan lombong dan membakar lebih 10 kenderaan.

Pekerja itu memaklumkan bahawa operasi perlombongan sudah dihentikan bagi menghormati mangsa yang maut.

Kenyataan polis tidak memperincikan kerosakan, namun meminta penduduk tempatan supaya bertenang dan mengawal diri sambil mengingatkan mereka mengenai peraturan pemerintah mengenai perlombongan haram.

Tragedi perlombongan seperti itu biasa berlaku di Burkina Faso, dengan masyarakat yang tinggal berhampiran lombong merungut faedah yang diterima oleh mereka dari industri perlombongan berskala besar adalah terlalu rendah.

Sebanyak 17 industri lombong emas yang beroperasi di Burkina Faso menyumbang lebih 13 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara itu pada 2019. – AFP