Enam ikan paus dilepaskan

WELLINGTON, 27 Nov – Para petugas pemuliharaan dan sukarelawan di New Zealand hari ini telah berjaya melepaskan enam ekor ikan paus yang terdampar dan berharap ikan-ikan itu berenang ke lautan dalam.

Sejumlah 10 ekor ikan paus pygmy killer baru-baru ini telah dijumpai terdampar di Pantai Ninety Mile di Pulau Utara namun dua ekor ikan paus mati.

Pada malam kelmarin, beberapa orang kru telah memindahkan ikan-ikan tersebut dengan menggunakan treler ke Pantai Rarawa yang terletak berhadapan dengan pinggir laut semenanjung, di mana keadaan lautnya lebih tenang. Perjalanan itu memakan masa sejam, menurut renjer Jabatan Pemuliharaan, Jamie Werner.

Menurut Werner, ikan paus itu kemudiannya dilepaskan di aliran pasang surut bagi melepaskan tekanan badan mereka. Tetapi menurutnya, ikan paus tersebut terlalu mengapung dan terdampar di pasir dan para sukarelawan terpaksa berjaga semalaman bagi menyejukkan ikan-ikan itu dengan air.

Werner berkata, kira-kira 200 orang hadir bagi memberikan bantuan dan sekumpulan orang mengangkat seekor ikan paus ke laut awal pagi hari ini dan menimbulkan mereka di laut dalam. Katanya, dua ekor ikan paus yang masih lemah naik ke darat.

Menurutnya, ikan-ikan paus yang lain berenang kira-kira 400 meter dari pesisiran pantai petang hari ini dan akan terus diawasi sehingga mereka berenang ke kawasan air yang lebih dalam.

Pihak kru berharap untuk hasil yang lebih baik berbanding kejadian sebelum ini yang menyaksikan 145 ikan paus pandu mati. – AP

Anggota penyelamat mengelilingi ikan paus selepas dipindahkan ke Pantai Rarawa dari Pantai Ninety Mile semalam. – AP