Enam individu hilang di hutan Tuaran, ditemui selamat

KOTA KINABALU, 2 APRIL – Enam individu yang dilaporkan hilang di kawasan hutan bakau Kampung Bukit Payung, Tuaran sejak malam tadi ditemui selamat pagi ini.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pukul 8 malam dan 20 anggota segera dikejar ke lokasi bersama seekor anjing pengesan.

Katanya, operasi mencari mangsa dijalankan dengan bantuan empat anggota polis, tentera dan Angkatan Pertahanan Awam.

“Tiga mangsa berjaya keluar sendiri dari kawasan bakau dan ditemui oleh orang awam pada pukul 9.23 pagi, manakala tiga lagi mangsa dijumpai pada jarak 200 meter dari mangsa pertama ditemui kira-kira pukul 9.29 pagi dan kesemua mereka ditemui dalam keadaan selamat,” kata jabatan itu dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kesemua mangsa mula dikhuatiri hilang apabila tidak balik ke rumah selepas menjalankan aktiviti mencari lokan di kawasan hutan bakau berkenaan.

“Operasi ditamatkan pukul 12 tengah hari ini dan kesemua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya. – Bernama