Enam keluarga miliki rumah baharu

Oleh Yusrin Junaidi

TUTONG, 4 MAC – Enam buah keluarga kini mempunyai tempat berteduh yang lebih selesa apabila menerima bantuan rumah baharu di Kampung Bukit Udal, Tutong yang telah diserahkan pada majlis yang berlangsung hari ini. Para penerima berkenaan ialah Awang Mohd Mashuarat bin Abdullah Bungo yang menerima bantuan rumah di Simpang 139 Kampung Bukit Udal, Tutong manakala Haji Yusof bin Haji Tuan, Awang Metussin bin Abdullah, Dayang Enny Kartini binti Mesail, Dayang Raheemah binti Abdullah dan Dayang Rohana binti Amas di Simpang 50-11 Jalan Penemparan Tersusun Kampung Bukit Udal, Tutong
Hadir menyempurnakan penyerahan plak dan sijil ke-siapan rumah berkenaan ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman selaku yang dipertua Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB). Turut menyampaikan plak ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi bin Haji Gafar dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Rumah-rumah bantuan berkenaan terbahagi kepada dua jenis iaitu rumah banglo dan rumah bertiang yang sekurang-kurangnya mempunyai tiga bilik tidur, ruang tamu, dapur, bilik mandi dan tandas.

Perbelanjaan bagi pembinaan rumah-rumah tersebut adalah melalui peruntukan Kumpulan Wang Zakat MUIB bagi Asnaf Fakir dan Miskin berjumlah $401,804.38.

Projek pembinaan berkenaan adalah sebahagian daripada 27 buah rumah yang sedang dibina oleh Syarikat Noracon Sdn Bhd dengan harga keseluruhan projek berjumlah $1,977,283.60.
Kerja-kerja projek pembinaan rumah-rumah bantuan tersebut bermula dengan membersihkan kawasan tapak rumah dan seterusnya kerja-kerja pembinaan rumah yang bermula pada 25 Oktober 2018 dan dijangka siap sepenuhnya pada 25 April 2020. Bantuan rumah berkenaan diharap dapat membantu meringankan beban dan tanggungan di samping memberikan keselesaan tempat tinggal dan kesempurnaan beribadah bagi para penerima.

Hadir sama pada majlis penyerahan berkenaan ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar selaku naib yang dipertua MUIB; ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Abdul Wahab bin Apong selaku penghulu Mukim Tanjong Maya, Tutong dan Yang Berhormat Awang Ramli bin Haji Lahit selaku ke-tua Kampung Telisai, Tutong; Setiausaha Tetap (Undang-undang dan Kesejahteraan) di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Haji Muhammad Rosli bin Haji Ibrahim; Pemangku Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang; Pemangku Setiausaha MUIB, Haji Abdul Aziz bin Haji Akop serta pegawai-pegawai kanan dari JPM dan KHEU.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama dan Yang Berhormat Menteri Pembangunan bersama warga kementerian mengadakan lawatan ke salah sebuah rumah penerima bantuan.
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Menteri Pembangunan dan Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan bergambar ramai bersama penerima plak rumah pada majlis yang berlangsung di Kampung Bukit Udal, Tutong baru-baru ini.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi menyerahkan plak rumah kepada salah seorang penerima.
Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan semasa meninjau rumah salah seorang penerima.