Enam maut dalam kemalangan di Nepal

KATHMANDU, NEPAL, 1 DIS – Enam orang terbunuh apabila sebuah ambulans yang membawa mayat bertembung dengan trak di Nepal, kata polis hari ini.

Kemalangan itu berlaku malam kelmarin berhampiran Haripur, sebuah kampung sekitar 353 kilometer (219 batu) dari ibu kota, Kathmandu. Seorang pegawai polis berkata kemalangan itu mungkin disebabkan oleh pemanduan yang laju dan jarak penglihatan yang terbatas akibat kabus di lebuh raya.

“Tapak kemalangan berada beberapa kilometer jauhnya dari sungai, dan lebuh raya biasanya berkabus pada waktu malam semasa musim sejuk,” kata Hemanta Tamang, pegawai yang bertugas di kawasan itu.

Tamang berkata ambulans itu membawa mayat seorang wanita berusia 85 tahun. “Semua mangsa yang maut merupakan ahli keluarga si mati kecuali pemandu ambulans itu,” katanya.

Polis berkata, mereka masih mencari pemandu trak, yang dipercayai melarikan diri daripada kejadian selepas kemalangan itu.

Kemalangan jalan raya merupakan sesuatu yang sering berlaku di Nepal dan sering dipersalahkan kerana kenderaan yang teruk, lebuh raya yang tidak terurus dan keselamatan jalan raya yang sekurang-kurangnya membunuh 550 orang dalam kemalangan jalan raya sejak pertengahan Julai, menurut polis. – AFP