Enam maut gempa bumi landa Mexico

OAXACA, MEXICO, 24 JUN – Gempa bumi kuat dengan magnitud 7.4 telah menggegarkan selatan Mexico semalam, menyebabkan enam orang maut tetapi amaran tsunami yang dikeluarkan pada awalnya telah ditarik balik.

Pusat gempa terletak berhampiran Crucecita di tenggara Oaxaca, dengan kesan gegaran boleh dirasai hingga bandar Mexico yang terletak sejauh kira-kira 700 kilometer, sekali gus menyaksikan penduduk yang ketakutan lari bertempiaran keluar dari rumah.

Semua kematian itu berlaku di kawasan Oaxaca dengan kebanyakannya terkorban akibat bangunan runtuh. Menurut pihak berkuasa, seorang wanita maut berhampiran Crucecita, manakala lima lagi terkorban di pekan terletak dalam lingkungan 150 kilometer dari pusat gempa.

Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) melaporkan gempa bumi itu bermagnitud 7.4 dengan kedalaman 23 kilometer.

“Kemudahan infrastruktur strategik tiada mengalami sebarang kerosakan, iaitu pelabuhan, lapangan terbang, kilang penapisan dan loji hidroelektrik, semuanya berada dalam keadaan baik,” kata Presiden Andres Manuel Lopez Obrador dalam satu rakaman video yang disiarkan melalui media sosial.

Seorang penunggang motosikal melewati pita keselamatan yang memberi amaran tentang bangunan rosak selepas gempa bumi di Oaxaca, Mexico pada 23 Jun 2020. – AFP

Sementara itu, firma Mexican Oil memaklumkan kilang penapisan mereka di Salina Cruz, Oaxaca, ditutup sebagai langkah berjaga-jaga susulan tercetusnya kebakaran yang ‘berjaya dibendung dengan segera’.

Seorang pekerja di kilang itu maut akibat terjatuh dari tempat tinggi.

Pihak berkuasa berkata gempa bumi itu turut mengakibatkan kerosakan kecil pada empat buah hospital dan sebuah klinik, selain gereja, pasar serta bangunan lain.

Enam jam selepas kejadian itu, sebanyak 447 gempa susulan direkodkan di seluruh rantau dengan yang paling kuat bermagnitud 4.6.

Pusat amaran Tsunami Pasifik AS pada awalnya memaklumkan bahawa ombak berbahaya hingga ketinggian tiga meter boleh membadai mana-mana kawasan dalam lingkungan 1,000 kilometer dari pusat gempa itu.

Namun beberapa jam kemudian, pusat itu menyatakan bahawa sebahagian besar ancaman berkenaan telah berlalu. – AFP