Enam maut pesawat persiaran terhempas

WASHINGTON, 6 OGOS – Pengawal Pantai Amerika Syarikat (AS) berkata enam pelancong terbunuh selepas kapal terbang persiaran mereka terhempas di tenggara Alaska.

Perkhidmatan penyelamat di utara AS, dalam satu kenyataan, berkata mereka bertindak balas terhadap isyarat kecemasan pada jam 11:20 pagi waktu tempatan kira-kira 13 kilometer di timur laut Ketchikan, Alaska.

“Seorang kru helikopter MH-60 Jayhawk dari Stesen Udara Pengawal Pantai Sitka menemui bangkai pesawat itu pada jam 2:37 petang dan menurunkan dua perenang penyelamat yang melaporkan tiada mangsa terselamat,” menurut kenyataan itu.

Kapal terbang de Havilland Beaver iaitu pesawat yang boleh terapung di atas air, membawa lima penumpang dan juruterbang, berlepas dari Taman Monumen Nasional Misty Fjords.

Penumpang pesawat adalah pelancong dari kapal persiaran milik syarikat Holland America Line, iaitu Nieuw Amsterdam.

“Kami mengesahkan pesawat yang membawa lima orang penumpang dari Nieuw Amsterdam terbabit dalam kemalangan di Ketchikan dan tidak ada yang terselamat.

“Ini adalah lawatan bebas yang tidak ditawarkan oleh Holland America Line. Doa kami bersama keluarga dan rakan-rakan mangsa,” kata syarikat itu melalui Twitter.

Beberapa syarikat pelancongan menawarkan khidmat pelancongan melalui fjord di sekitar Ketchikan, yang dikelilingi hutan subur dan permukaan batu hampir menegak. – AFP

Kakitangan Sukarelawan Skuad Menyelamat Ketchikan keluar dari helicopter Hughes 369D di Temsco Helicopter Inc di Ketchikan, Alaska pada 5 Ogos 2021. Pengawal Pantai AS berkata enam pelancong terbunuh selepas kapal terbang persiaran mereka terhempas di tenggara Alaska. – AP