Enam maut, puluhan cedera dalam nahas bas

HONG KONG, 18 DIS – Enam orang terkorban manakala puluhan lagi cedera di Hong Kong hari ini apabila sebuah bas dua tingkat terbabas ke sebatang pokok, kata polis.

Rakaman langsung menunjukkan anggota bomba cuba untuk menyelamatkan mangsa yang berada di tingkat atas bas yang sudah remuk, mengakibatkan beberapa kerusi penumpang terjuntai ke tepi.

Mangsa-mangsa terkorban dipindahkan ke beg mayat hitam dan ditempatkan di tepi jalan di Kwu Tung, rantau dekat dengan sempadan China.

Polis berkata enam orang disahkan maut di tempat kejadian – tiga lelaki dan tiga wanita – dengan puluhan lagi cedera.

Pihak berkuasa hospital bandar itu mengatakan 40 orang mengalami kecederaan.

Salah seorang mangsa terselamat dengan kepala dan tangannya berbalut memberitahu penyiaran tempatan TVB, dia sedang tidur semasa kemalangan berlaku.

“Apabila saya terbangun saya sudah pun terperangkap di tempat duduk saya,” kata lelaki tersebut. – AFP

Seorang pegawai polis berdiri dekat bas dua tingkat yang terlibat dalam kemalangan di Kwu Tung di Hong Kong pada 18 Disember. – AFP