Enam negara EU uji aplikasi penjejak virus

BRUSSELS, 14 SEPT – Enam negara Kesatuan Eropah (EU) telah mula menguji teknologi untuk menghubungkan aplikasi pengesan virus di seluruh Eropah tatkala gelombang kedua jangkitan COVID-19 mengancam benua tersebut.

Republik Czech, Denmark, Jerman, Ireland, Itali dan Latvia telah mula menguji pautan baharu di antara server aplikasi pengesan mereka, kata Suruhanjaya Eropah.

Sistem baharu itu ‘akan memastikan aplikasi berfungsi di luar sempadan,” kata eksekutif EU.

“Pengguna hanya perlu memasang satu aplikasi dan masih boleh melapor-kan ujian jangkitan positif atau menerima satu amaran, walaupun ketika mereka berkunjung ke luar negara,” katanya.

Brussels berusaha menyelaras di antara 27 ibu negara EU tatkala mereka berusaha mencari jalan untuk menjejak mangsa wabak koronavirus dan menga-wal pandemik baharu dengan lebih baik.

Namun kebanyakan negara anggota meneruskan dengan aplikasi mudah alih pengesan kontak mereka sendiri yang masih belum serasi sepenuhnya di antara satu sama lain, sekali gus menghambat usaha untuk mengawasi penularan wabak.

Negara seperti Perancis dan Hungary yang membangunkan kumpulan data sepusat mungkin tidak akan mengambil bahagian dalam sistem EU.

Namun aplikasi seperti yang digunakan di 18 negara anggota EU termasuk Jerman, Poland dan Itali boleh membabitkan diri. – AFP