Saturday, October 5, 2024
26.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Enam negara sertai Fiesta Belia Memanah Antarabangsa

    PORT DICKSON, 10 Okt – Sebanyak enam negara telah mengesahkan penyertaan dalam Kejohanan Fiesta Belia Memanah Antarabangsa Port Dickson 2017 yang akan berlangsung dari 25 hingga 29 Okt ini di Lapang Sasar Memanah, Batu 1 dekat sini.

    Pengurus Besar Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan Baharudin Jali berkata, kejohanan terbesar di Malaysia yang julung kali diadakan di Port Dickson itu, akan disertai oleh Malaysia, Thailand, Singapura, Indonesia, India dan Sri Lanka.

    “Penganjuran acara ini merupakan acara yang berkonsepkan sukan pelancongan bagi menarik peminat sukan memanah dari dalam dan luar negara.

    “Melalui program seperti ini pastinya memberikan pulangan kepada industri pelancongan di Port Dickson sekali gus mempromosikan Negeri Sembilan di peringkat antarabangsa,” katanya kepada pemberita pada sidang media Fiesta Belia Memanah Antarabangsa di sini, hari ini.

    Baharudin juga berkata, terdapat dua negara yang masih berminat menyertai kejohanan tersebut iaitu Bangladesh dan Pakistan. Sementara itu, Pengerusi Kelab Memanah Port Dickson Sahak Abdullah berkata, dua kategori bakal dipertandingkan iaitu Recurve Lelaki dan Recurve Wanita yang melibatkan 67 pasukan meliputi 400 atlet.

    Beliau berkata pertandingan ini telah mendapat pengiktirafan daripada Persekutuan Memanah Dunia dan Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) dan telah dimasukkan di dalam kalender kejohanan dunia sebagai acara bertaraf antarabangsa. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda