Enam nilai dalam p³ES yang perlu dihayati, dipraktikkan

Oleh Sim Y. H.

 

PESTA Konvo UTB ke-5 yang membawa tema, p³ES di mana singkatan p³ES membawa maksud Pious (Beriman), Professional (Profesional), Passionate (Beriltizam), Innovative (Berinovasi), Engaging (Berdaya Keterlibatan) dan Scholarly (Berilmu). Simbol dan nilai p digunakan secara meluas dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik.

Tema itu dipilih dengan matlamat untuk mengetengahkan enam nilai tersebut yang perlu dihayati dan dipraktikkan oleh setiap warga universiti bagi mencapai visi keseluruhan iaitu untuk menjadi sebuah universiti yang memberikan impak kepada masyarakat.

Seperti tahun sebelumnya, tema pesta konvo pada kali ini juga memaparkan inisiatif-inisiatif dan aktiviti para mahasiswa, bakal graduan dan juga UTB secara keseluruhan yang menjurus kepada nilai-nilai berkenaan.

Komponen pertama pameran, ‘Beriman’ membawa maksud warga UTB akan menerapkan dan memupuk nilai-nilai falsafah Melayu Islam Beraja (MIB) dengan aspirasi untuk menegakkan akidah Islam dan semangat kenegaraan secara jujur, komited dan mengekalkan nilai-nilai murni, keperibadian berdisiplin dan berbudaya sebagai amalan seharian dengan petunjuk Allah SWT.

Pameran itu menunjukkan inisiatif para mahasiswa dan graduan UTB dalam menjalani kehidupan pembelajaran di kampus dan kehidupan seharian mereka berdasarkan MIB.

Dalam pameran itu, projek yang dipamerkan berbentuk e-Book telah dihasilkan di mana ia mengandungi kumpulan doa-doa bagi warga UTB dan selain daripada itu, aplikasi mudah alih seperti Bru Tausyeh dan Masjidku turut dipamerkan.

Sebuah komik yang mengetengahkan watak Noh hasil karya seni seorang pensyarah dari Pusat Komunikasi, Pengajaran dan Pembelajaran, Dr Malai Yunus bin Malai Yusof di mana watak Noh dalam komik berkenaan menunjukkan Noh mempunyai nilai-nilai MIB.

Komponen kedua ‘Profesional’, yang melambangkan suatu nilai UTB yang mana setiap warga UTB akan mengikuti kod etika sebagai landasan untuk mengawal tindak-tanduk dalam semua hal ehwal urusannya termasuk memberikan perkhidmatan yang profesional dalam kesemua aspek pekerjaan.

Pameran itu mengetengahkan strategi UTB dalam meningkatkan tahap profesionalisme para pelajar dan graduan melalui program-program akademik yang diiktiraf dan penglibatan pelajar dengan badan-badan profesional.

Pameran itu juga mempamerkan aktiviti-aktiviti mahasiswa dan mahasiswi UTB di mana mereka mula mendapat pendedahan awal kepada dunia profesional melalui interaksi dalam badan-badan profesional dan telah menubuhkan Student Chapter masing-masing di UTB termasuk IET-Students on Campus, SPE-UTB Student Chapter, PUJA-UTB Student Chapter, IchemE-UTB Student Chapter dan ImechE-UTB Student Chapter.

Komponen ketiga pula ialah ‘Beriltizam’ di mana ia membawa maksud supaya warga UTB harus tampil dengan mempunyai dorongan semangat dan komitmen yang konsisten demi merealisasikan misi dan visi UTB melalui keazaman yang kuat dan budaya kecemerlangan.

Pameran itu mengetengahkan projek-projek bakal graduan Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama yang beriltizam di mana antara projek-projek berkenaan ialah Gamification of Learning Management System dari Program Pengkomputeran Kreatif, Crime Record Management and Analysis using GIS dari Program Sistem Pengkomputeran, Production of 500MTD Methanol via Coal Gasification dari Fakulti Kejuruteraan, Self-Trackam dari Program Pengkomputeran Kreatif dan Cyclisthub dari Program Sistem Pengkomputeran.

Komponen ‘Berinovasi’ pula menunjukkan kebolehan warga UTB dalam menghidupkan idea-idea kreatif yang mampu menghasilkan peningkatan prestasi dan nilai tambah yang diingini untuk berkembang melalui kecekapan, kualiti dan produktiviti.

Pembudayaan daya inovasi juga bagi mengoptimumkan penggunaan sumber yang sedia ada, menerajui bidang penyelidikan, pengajaran dan pembelajaran serta meningkatkan kecekapan dalam operasi.

Projek-projek inovatif yang dipamerkan termasuk IoT Based Solar Powered Car Interior Cooling and Monitoring System, Checkmate: An Artificially Intelligent System for Assisting in Diagnosis of Minor Illnesses, Effectiveness of I-Centre dan Measuring the Factors Affecting Entrepreneurial Intention Amongst UTB School of Business Students.

Komponen kelima ialah ‘Berdaya Keterlibatan’ di mana ia menunjukkan hasrat UTB untuk mewujudkan dan memupuk hubungan yang membangun dengan semua pihak berkepentingan melalui komunikasi yang berterusan dan saling mendukung.

Nilai daya keterlibatan itu mampu menghasilkan hubungan yang kukuh dan mapan dengan pihak berkepentingan menerusi kaedah quadruple helix engagement.

Di antara pihak berkenaan ialah Sesame World Technology STI Lab, Pusat Penemuan Minyak dan Gas (OGDC) dan Kementerian Perhubungan. Selain itu, ahli-ahli Majlis Perwakilan Pelajar UTB juga turut mempamerkan aktiviti-aktiviti yang dijalankan dalam penglibatan masyarakat seperti kegiatan-kegiatan sukarelawan.

Komponen keenam dan terakhir pameran berkenaan ialah ‘Berilmu’ di mana ia menekankan hasrat UTB untuk menjadi sebuah universiti yang berdedikasi dalam menyebarkan ilmu pengetahuan melalui pengajaran, pembelajaran, penyelidikan dan inovasi yang berkualiti tinggi.

Untuk melahirkan mahasiswa, mahasiswi dan graduan yang berilmu itu, UTB menggalakkan gaya pembelajaran secara mandiri dan membangun masyarakat yang berpengetahuan bagi mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035.

Pameran itu mengetengahkan projek-projek terpilih oleh para bakal graduan peringkat Sarjana seperti Assessment of Water Quality in Brunei River Catchment, Analysis of Scouring Effects on Bridge Piers dan Review of Design Guidelines on Slope in Brunei Darussalam.