‘Tiada jerebu rentas sempadan’

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 NOV – Selaras dengan wawasan ASEAN bebas jerebu 2020, Negara Brunei Darussalam telah menikmati kualiti udara yang baik di mana tiada kejadian jerebu asap rentas sempadan telah berlaku.

“Kualiti udara di negara ini mencatatkan 341 hari baik (94 peratus) dan 23 hari sederhana di antara bulan Ogos 2019 hingga Julai 2020 dan 456 hari baik (100 peratus) antara bulan Ogos 2020 hingga Oktober 2021.”

Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Suhaimi bin Haji Gafar menyatakan menjelaskan perkara itu pada Mesyuarat ke-22 Jawatankuasa Pandu Menteri-menteri Rantau ASEAN Selatan Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (MSC) yang dihoskan oleh Republik Indonesia melalui persidangan video, hari ini.

Menurut kenyataan Kementerian Pembangunan di sini, mesyuarat berkenaan dihadiri oleh menteri atau wakil yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar, tanah, kebakaran hutan dan jerebu dari Negara Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia, Singapura, dan Thailand serta setiausaha agung ASEAN, di mana mesyuarat telah dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Perhutanan Indonesia, Dr Alue Dohong.

Kenyataan menyatakan, mesyuarat antara lain mengambil maklum mengenai maklumat keadaan cuaca dan asap jerebu yang disampaikan oleh ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC).

Yang Berhormat Menteri Pembangunan ketika menyertai mesyuarat secara maya mengenai pencemaran jerebu rentas sempadan. – Gambar serahan Kementerian Pembangunan

Musim kemarau bagi rantau ASEAN Selatan bagi 2021 bermula dari pertengahan Julai hingga pertengahan Oktober, di mana terdapat peningkatan aktiviti titik panas dan asap jerebu setempat selama beberapa hari di beberapa kawasan Borneo. Walau bagaimanapun, tiada jerebu rentas sempadan yang ketara diperhatikan di rantau ASEAN selatan dalam tempoh ini.

Manakala itu, keadaan La Niña yang bermula pada November 2021 dijangka berterusan sehingga awal tahun 2022. Selain itu, mesyuarat juga bersetuju untuk menambah baik dan mengukuhkan kewaspadaan dan mengambil langkah pencegahan dan prosedur pemadaman kebakaran serta-merta untuk mengurangkan kebakaran tanah dan hutan serta kejadian jerebu rentas sempadan semasa tempoh cuaca kering, sambil memerangi wabak COVID-19.

Mesyuarat mengambil maklum dan menghargai pelbagai inisiatif dan tindakan oleh negara MSC dan kemajuan dalam pelaksanaan Kajian Strategik Program dan Aktiviti Jawatankuasa Pandu Menteri (MSC).

Di samping itu, mesyuarat tersebut mengambil maklum bahawa Kajian Akhir Pelan Hala Tuju Kerjasama ASEAN ke arah Kawalan Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan dengan cara pelaksanaan yang telah membolehkan negara-negara ASEAN melihat kemajuan dan mengekalkan momentum dalam memastikan penambahbaikan yang dapat dibuktikan untuk mencapai wawasan ASEAN Bebas Jerebu melalui cadangan Pelan Hala Tuju yang diperbaharui untuk ASEAN.

Mesyuarat juga mengalu-alukan pelaksanaan rebiu akhir Strategi Pengurusan Tanah Gambut ASEAN (APMS 2006-2020) oleh Pasukan Petugas ASEAN mengenai Tanah Gambut (ATFP).

Mesyuarat itu juga mengambil maklum kepentingan dalam mempergiatkan lagi usaha untuk memuktamadkan dokumen Perjanjian Penubuhan dan Perjanjian Negara Tuan Rumah Pusat Penyelaras ASEAN bagi Kawalan Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (ACC THPC) di Indonesia.

Pada mesyuarat itu, mengenai pencapaian dan kemajuan ketara dalam pelaksanaan program dan projek mengenai jerebu dan tanah gambut iaitu Program Penggunaan Mampan Tanah Gambut dan Mitigasi Jerebu di ASEAN (SUPA) dan Tindakan Terukur ke arah Bebas Jerebu bagi Pengurusan Tanah Mampan di Asia Tenggara (MAHFSA).

Menurut kenyataan, Mesyuarat ke-22 Kumpulan Kerja Teknikal Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (TWG) telah bersidang sebelum mesyuarat MSC berkenaan.

Turut menghadiri mesyuarat berkenaan dari Negara Brunei Darussalam ialah Timbalan Menteri Pembangunan, Dato Seri Paduka Haji Marzuke bin Haji Mohsin dan Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan, Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak serta pegawai-pegawai kanan dari Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan serta Jabatan Kaji Cuaca Brunei Darussalam.